Sunday, May 3, 2009

Prosedur melaksanakan latihan ilmiah

Saya ingin kongsikan secara khusus tentang prosedur biasa dalam melaksanakan latihan ilmiah sebagaimana berikut :

1. Jumpa penyelia latihan ilmiah untuk membincangkan konteks penyelidikan yang ingin dikaji. Penyelia penting kerana ia adalah nadi kepada latihan ilmiah yang dijalankan. Terima konseptual daripada penyelia dan buat rumusan yang sebaik mungkin untuk merangka kajian yang bakal di jalankan.

2. Dapatkan persetujuan daripada penyelia tentang area (bidang) yang ingin dikaji. Diingatkan untuk pelajar kaunseling hanya bidang kaunseling wajar dikaji. Paling tidak pun ada variebel kaunseling dan psikologi. Oleh itu, pengkaji perlu membezakan mana satu kaunseling dan mana satu psikologi. Yang lemahnya, dah hampir bergraduat pun tidak boleh membezakan antara kaunseling dan psikologi.

3. Buat bacaan sebagai mungkin sebelum menulis proposal kajian. Kebanyakan pengkaji pakai hentam sahaja penulisan tanpa berfokus berkaitan kajian latihan ilmiah yang ingin dijalankan. Teori yang digunakan mesti sesuai dengan kajian. Pernyataan masalah mesti jelas. Objektif kajian mesti mengukur apa yang sepatutnya diukur. Definisi kajian mesti boleh difahami dengan terang dan nyata. Kajian-kajian lepas hendaklah terkini (biasanya 5 tahun terkebelakang daripada tahun semasa, maknanya 2004). Metod kajian mesti sesuai dengan cara untuk menjalankan kajian. Alat ukur perlu mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan. Objektif kajian pula boleh dianalisis dengan sempurna sama ada kuantitatif mahu pun kualitatif. Rujukan pula perlu lengkap. Jangan dalam teks ada nama tokoh berkenaan dan bila tengok rujukan tiada nama orang berkenaan. Nanti boleh dituduh plagiat. Dicadangkan ambil pengalaman senior semester lepas.

4. Selepas menulis kertas cadangan perlu rujuk kepada penyelia sentiasa. Bincang dengan penyelia. Dan untuk mengesahkan bahawa kajian tersebut boleh diteruskan, sila dapatkan PENGESAHAN penyelia secara bertulis atau ditandatangani oleh penyelia untuk diBENTANGKAN kepada penilai latihan ilmiah pada PROGRAM PEMBENTANGAN PROPOSAL di peringkat Jabatan.

5. Pembentang proposal biasa akan dinilai oleh pensyarah yang dilantik. Semua pelajar wajib hadir untuk mendengar pembentangan proposal. Setelah pembentangan dijalankan, suatu sesi soal jawab akan berlangsung. Pada waktu inilah penilai akan memberikan komen yang sewajar. Pada waktu ini juga sesuatu proposal kajian tersebut DITERIMA atau DITOLAK terus.

6. Katakan DITOLAK, suatu cadangan kajian lain perlu dirangka semula. Manakala, jika diterima pelajar perlu berjumpa dengan penyelia untuk memaklumkan perkembangan yang berlaku. Setelah diizinkan oleh penyelia, pelajar perlu MEMOHON KEBENARAN daripada INSTITUSI yang terbabit untuk menjalankan kajian. Institusi itu mungkin EPRD, KEMENTERIAN WANITA, MARA dan sebagainya asalkan ada persetujuan daripada pihak yang menjaga hal ehwal penyelidikan untuk melaksanakan kajian. Pesanan kepada pelajar jangan terus ke lapangan kajian sebelum mendapat kebenaran bertulis daripada pihak yang sepatutnya memberi kebenaran. Buat kerja biarlah beradab kerana kita akan dipandang mulia. Ibaratnya jangan masuk rumah rumah orang tanpa kebenaran.

7. Setelah mendapat kebenaran daripada PIHAK YANG BERWAJIB, kajian boleh dijalankan berdasarkan kepada metod kajian yang dijalankan. Buatlah ikut metod yang sesuai dan kurangkan ralat dalam kajian. Sebab semua prosedur dalam menjalankan kajian di lapangan akan ditanya semasa pembentangan dapatan kajian kelak.

8. Kemudian, PEMBENTANGAN HASIL DAPATAN KAJIAN (biasanya enam minggu setelah Pembentangan Proposal Kajian ) akan dilaksanakan untuk mendengar dan menilai dapatan kajian diperoleh dan yang telah dianalisis. Pembentangan ini penting untuk menentukan kesahan dapatan kajian. Kemudian penilai akan menilai sejauhmana analisis yang dilakukan adakah selaras dengan objektif kajian. Pembentangan ini penting untuk membolehkan dapatan kajian dianalisis dengan cara yang betul. Lebih malang lagi semua dapatan kajian tidak dapat menjawab soalan kajian. Ramai yang membuat analisis yang salah walaupun objektif kajian adalah betul. Penilai juga akan melihat kesinambungan dapatan kajian dengan BAB 1, 2 dan 3 adakah ianya selaras. Jika tidak selaras, pembetulan perlu dilakukan segera. Dan jika teruk sangat mungkin data perlu dikutip balik.

9. Setelah PEMBENTANGAN HASIL DAPATAN KAJIAN diluluskan barulah penulisan keseluruhan boleh dilakukan. Bagi latihan ilmiah hanya lima bab iaitu Bab 1,2,3,4 dan 5. Oleh itu pelajar perlu menulis dengan lengkap kesemua bab tersebut.

10. Setelah ditulis kesemua bab, pelajar perlu memberikan kepada penyelia untuk dikomen dan memberikan cadangan dan pandangan. Pendek kata DRAF penulisan akhir ini mungkin berlau beberapa kali. Pelajar saya ada yang 15 kali drafnya diperbaiki. Itu adalah perkara biasa. Ini kerana latihan ilmiah tidak sama dengan membuat tugasan assignment biasa kerana latihan ilmiah memerlukan penyeliaan yang berterusan sehingga ianya selesai.

11. Pastikan juga bahawa penulisan yang dibuat mengikut format APA. Boleh dapatkan daripada saya tentang format tersebut.

12. Setelah beberapa kali draf dibincangkan dengan penyelia, biasanya penyelia akan memberi isyarat "LATIHAN ILMIAH ANDA BOLEH DI BINDING (DIBUKUKAN) DENGAN KULIT KERAS (HARD COVER)". Ayat inilah menjadi ayat yang ditunggu-tunggu. Setelah mendapat pengesahan penyelia untuk dibinding kulit keras, barulah proses tersebut dilakukan. Format untuk binding pun boleh dapatkan daripada saya.

13. Setelah dibukukan kulit keras, latihan ilmiah itu perlu diserahkan kepada penyelia, penyelaras latihan ilmiah (setakat ini) dan klinik kaunseling untuk diberikan kepada agensi yang meluluskan kajian itu dilakukan. Rujuk saya untuk maklumat lengkap.

14. Sekiranya prosedur ini dapat dipenuhi, maka syarat untuk latihan ilmiah ini diluluskan adalah cerah. Sebab ada latihan ilmiah yang kita kena tangguhkan sementara. Oleh itu buat ikutlah prosedur agar tidak banyak cacat celanya nanti.

15. Penulisan tentang penyelidikan dan latihan ilmiah terutama daripada konteks ilmu penyelidikan banyak saya kongsikan dalam blog saya yang satu lagi iaitu http://drjazimin.com

Latihan Ilmiah, Kertas Projek, Disertasi dan Tesis

Ramai orang tidak faham tentang latihan ilmiah, kertas projek, disertasi dan tesis. Semuanya mempunyai konsep yang sama iaitu melaksanakan kajian akademik untuk diiktiraf sebagai graduan. Bezanya adalah tahap kajiannya. Latihan ilmiah dan kertas projek biasanya untuk pelajar sarjana muda. Disertasi khusus untuk pelajar sarjana atau pun master manakala tesis adalah untuk pelajar yang diperingkat lebih tinggi yang memerlukan penilaian daripada luar institusi dan penilaian daripada pakar bidang.

Apa yang yang ingin saya tekan kan bahawa semua jenis kajian akademik ini perlu di BENTANGKAN untuk menentukan kesahan dan arah tuju yang betul ketika melaksanakan kajian. PEMBENTANGAN ini sangat baik kerana pengkaji membuat kajian berdasarkan pandangan yang terarah dan tidak membuat kajian secara syok sendiri. Sebagai contohnya subjek Latihan Ilmiah yang wajib diambil oleh semester 7 setiap semester oleh pelajar Bimbingan & Kaunseling, pembentangan kertas cadangan kajian (proposal) telah menjadi rasmi untuk dibentangkan pada minggu pertama atau kedua setiap semester (InsyaALLAH dalam awal bulan Julai 2009). Pembentangan ini diwajibkan kepada semua pelajar. Pelajar yang tidak membentang boleh dianggap kajian mereka tidak diperakukan oleh panel pensyarah. Melalui pembentangan ini pengkaji (pelajar berkenaan) lebih maklum tentang kesilapan dan kesalahan yang perlu diperbaiki sebelum turun ke kajian sebenar. Seperkara lagi ianya menjamin betulnya sesuatu kajian kerana ia menjadi rujukan orang lain. Jika tidak kita sering melakukan perkara yang salah yang kita tahu ada benarnya. Atau pun kita lakukan perkara yang kita rasa benar padahal salah. Mungkin juga kita tidak tahu apa-apa tentang kesilapan tersebut sebab yang penting hentam sahaja kajian tersebuat asalkan kita bergraduat. Yang lebih malang graduan itu dapat A tetapi kajian akademiknya salah. Sebab tiada orang yang menilai dan memberi komen secara akademik. Oleh sebab itulah PEMBENTANGAN KERTAS CADANGAN KAJIAN (PROPOSAL) perlu dibentangkan dan selepas itu PEMBENTANGAN DATA KAJIAN juga penting dibentangkan untuk menjamin kebenaran kajian. Bagi mereka yang tidak pernah disemak penulisan mereka, banyaklah rungutan yang mereka berikan kerana tahap amalan akademik mereka tidak pernah diuji. Sepatutnya dalam akademik, yang benar setelah adanya justifikasi yang mantap daripada kajian-kajian dan fakta-fakta yang sahih. Yang benar kita junjung, yang tidak benar kita tegur. Kajian yang salah kita baiki, kajian yang betul boleh diteruskan. Nabi pun pernah berpesan berkata lah benar walaupun ianya pahit. Mungkin ramai orang tidak suka tetapi itulah kebenaran. Dan tugas itu yang saya ingin lakukan. Kerana saya fikir itulah sumbangan saya dalam bidang akademik.

Saturday, May 2, 2009

Semangat mesti kuat


Lama juga tidak mencoret sesuatu dalam blog ini. Maklumlah saya lebih suka menimbang bila membuat sesuatu perkara. Biasanya saya akan menyelesaikan mana yang penting dan segera dahulu. Kadang-kadang ada yang penting tidak perlu di segerakan cepat. Saya tahu banyak idea yang ingin dikongsikan tetapi bila timbang mana yang paling penting dan segera, maka ia perlu diutamakan.
Banyak benar peristiwa yang berlaku dalam bulan April yang lepas. Pertama, saya dapat menyelesaikan formula mudah kajian eksperimen dengan Dr Nasir di Hotel UNITEN. Kehadiran kami merungkai banyak masalah penyelidikan yang dilakukan bersama oleh team kajian langsang buli. Kedua, berserabut dangan menyemak tugasan kemahiran asas kaunseling dan etika kaunseling. Ketiga, menyiapkan proposal untuk PERSIDANGAN KEBANGSAAN Kaunseling 2009. Keempat, menguruskan penilaian akhir pelajar praktikum (banyak cabaran kerana ada pelajar yang tidak faham syarat praktikum dan ditambah lagi dengan keadaan teknikal di sekolah yang tidak memberi ruang pelajar praktikum membuat sesi kaunseling.) Saya mengamuk dalam meeting biar black list je sekolah yang tidak boleh beri kerjasama kepada pelajar UPSI. Kelima, sempat menyiapkan Kertas Penyelidikan FRGS ke Kementerian Pengajian Tinggi. Syukur Alhamdulillah dalam masa 5 jam saya dapat menyiapkan 3 proposal besar sehingga proposal sahabat saya Dr. Alya pun belum sempat saya lihat. Saya kata pada beliau saya akan lihat selepas 7 Mei ini. Ketiga-tiga penyelidikan tersebut bertajuk :
1. Kesahan dan kebolehpercayaan kaunseling kelompok Terapi Realiti dalam kalangan pelajar bermasalah tingkah laku di sekolah
2. Kajian profil keperluan psikologi dan fisiologi dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia
3. Kesan bimbingan kelompok Terapi Realiti dalam meningkatkan konsep kendiri, ketahanan diri dan kompensi diri dalam kalangan pelajar bawah 2.5 di salah sebuat IPTA awam.
Doalah agar semua tajuk tersebut berjaya kerana saya menjadi Ketua Penyelidiknya. Seterus keenam, saya cuba menyelesaikan penilaian kepada latihan ilmiah pelajar semester 7. Banyak lagi yang perlu mereka perbaiki terutama isi kandungan dan format. Ketujuh, baru mengajar salah seorang staf tentang penggunaan NVivo untuk research beliau. Kelapan, kena menyiapkan kertas kerja konsep untuk Program Sekolah Agama Rakyat di UPSI pada musim cuti semester nanti. Kesembilan, menerima kunjungan hormat daripada wakil Kementerian Pelajaran Malaysia untuk Persidangan Kebangsaan Kaunseling dalam mesyuarat kali kedua persidangan. Dan banyak lagi yang tak sempat saya rakamkan. Apa pun saya cuba untuk melepasi beberapa halangan yang mendatang dengan rasa tabah. Dan semangat mesti kuat jika tidak satu pun saya tidak ingin lakukan.

Sunday, April 19, 2009

Memenuhi keinginan love & belonging






Dalam sesibuk mana pun kerja, kasih sayang terhadap keluarga perlu dipertahankan. Memang sibuk dan masa yang terluang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mengeratkan lagi rasa kasih dan sayang. Saya memilih untuk ke Zoo Negara pada hari ini untuk memenuhi tuntutan kedua-dua anak saya. Mereka juga mempunyai keinginan dalam dunia mereka sendiri yang perlu saya fahami. Jika tidak sampai bila saya hanya memenuhi keinginan saya sendiri tanpa menghiraukan keinginan orang lain. Sebab itu benar juga teori Glasser, hubungan yang baik bila love & belonging nya tinggi. Pada waktu ini saya memang tidak ingin diganggu, konsentrasi saya hanya mahu dengan keluarga.

Program di SK USJ 12


Tuesday, April 14, 2009

ANALISIS MUDAH KAJIAN EKSPERIMEN

Kajian eksperimen penuh dengan ralat dan prosedur yang perlu dilaksanakan dengan teliti. Jika salah prosedur semua dapatan dan kajian tidak bermakna. Di sini saya kemukakan sifir mudah kajian dalam eksperimen terutama menggunakan ujian t dan paired sample t-test. Lain kali saya berkongsi bagaimana penggunaan Anova, Manova, Ancova dan Mancova.

1. Pra kumpulan rawatan vs kumpulan kawalan (independent sample t-test)


2. Pra-post kumpulan rawatan (paired sample)


3. Pra-post kumpulan kawalan (paired sample)


4. Post kumpulan kawalan vs kumpulan rawatan (independent sample t-test).



Monday, April 13, 2009

Pergi takkan kembali lagi

Hari ini, ketika saya mengajar Kemahiran Asas Kaunseling di sebuah kelas, saya mendapat panggilan daripada Cikgu Faridah (jiran saya) bahawa suaminya Cikgu Jefri telah meninggalkan dunia ini akibat pendarahan di otak. Bagaikan sudah diduga, saya menjangkakan bahawa amat sukar sekiranya pendarahan otak berlaku seseorang individu itu dapat sembuh sepenuhnya kerana ia melibatkan saraf-saraf penting dalam tubuh kita. Ingatan saya pada Arwah Cikgu Jefri saya mendalam sekali ketika beliau dan isterinya bersusah payah membantu saya ketika anak kedua saya terkena sawan tangis. Peristiwa yang kedua, beliaulah bersusah payah menemani saya ketika saya ditipu oleh seseorang berkaitan denga kereta yang pernah saya gunakan 11 tahun yang lampau. Pertolongannya menjadi kenangan sepanjang hayat hidup saya. Beliau seorang yang pemurah dan jika beliau mengadakan kenduri tidak pernah lupa menjemput saya datang. Syukurlah sempat saya menziarahi beliau ketika beliau koma di Hospital Ipoh walaupun kehadiran saya agak lewat kerana saya terlibat dengan penyeliaan praktikum. Al Fatihah saya sedeqahkan untuk arwah beliau dan saya doakan semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman yang menghuni syurga firdaus.

Yang pergi tidak akan kembali lagi. Itulah pengajaran dan nasihat sepanjang zaman untuk diri saya. Saya pun tidak sangka arwah yang dilihat sihat sepanjang masa, ditakdirkan begitu cepat sekali dijemput oleh Allah SWT. Peristiwa mengenangkan kembali kepada arwah bapa saya yang meninggal dunia akibat jantung mengejut. Saya rasa insaf seketika mengenangkan perkara ini kerana banyak benar rasanya dosa dengan Allah. Saya rasa masih banyak lagi usaha perlu ditingkatkan semoga saya menjadi perhatian Allah dan Allah suka kepada saya. Di akhirat nanti yang ada hanyalah amalan dan amal soleh yang akan dinilai. Dan akhirat itu pasti dan pasti dan pasti akan dirasai oleh semua orang.

Bila tibanya kematian, tugas untuk mengendalikan urusan dunia ini sudah habis. Saya tidak boleh mengajar lagi, saya tidak boleh bergembira macam sekarang lagi, saya akan meninggalkan anak-anak dan isteri saya dan apa yang saya sayang di dunia ini semuanya akan ditinggalkan. Yang akan saya bawa adalah roh saya yang selama ini telah saya bajai. Yang membimbangkan saya sejauhmana roh tersebut mendapat makanan yang cukup. Takut juga....

Bila perginya kita, yang tinggal adalah orang hidup. Orang hidup akan meneruskan langkah seperti biasa. Kadang-kadang orang hidup lupa tentang alam orang yang telah mati. Dan mungkin orang di alam barzakh tahu apa yang orang hidup lakukan. Soalnya manusia tidak akan kembali lagi setelah dimatikan di dunia. Yang pasti dia akan kembali ke alam akhirat untuk pengadilan terakhir samada Syurga atau Neraka. Dan semua orang hidup pasti mati. Orang yang telah pergi tidak akan kembali lagi ke dunia ini. Di dunia inilah waktu terbaik untuk menginsafi diri agar menjadi bekalan yang diredhai di akhirat nanti.

Akhirnya, semoga seluruh keluarga Cikgu Faridah tabah menghadapi dugaan ini. Hanya doalah penghubung antara orang hidup dan juga mati. InsyaAllah petang ini saya akan bergegas ke Teluk Intan untuk memberi sokongan yang sepatutnya. Yang penting, Al Fatihah untuk arwah Cikgu Jefri.

Friday, April 3, 2009

Asalkan bahagia

Tahniah, sejak semalam nampaknya pembentangan latihan ilmiah berjalan dengan lancar. Setinggi penghargaan saya ucapkan kepada TARMIZI, ANSARUL, ZAHIR dan AZRIN kerana bersedia menjadi petugas sepenuh masa. Walaupun semalam saya tiada dikampus kerana menjalankan tugas membentangkan kertas kerja kepada JPA dan DBKL tetapi sempat petang saya singgah untuk menyapa dapatan kajian pelajar.

Sempatlah saya tegur perbezaan antara kaunseling kelompok dan bimbingan kelompok. Hati-hati nak buat kaunseling kelompok kerana kena pastikan bahawa modul yang dijalankan benar-benar kaunseling dan mendapat kesahan pakar yang sebenar. Saya berpandangan untuk peringkat latihan ilmiah lebih sesuai bimbingan kelompok. Jika laksanakan kaunseling, kelompok rawatan sahaja lebih kurang 3-6 bulan. Saya percaya jika dilakukan mengikut prinsip kaunseling kelompok yang sebenar tidak siaplah latihan ilmiah. Itu tak lihat dari segi contentnya lagi. Kemudian, pengisian falsafah dan aplikasi teori kaunseling perlu dinyatakan dengan jelas. Dan macam-macam lagi tentang ralat dalam melaksanakan kaunseling kelompok. Memang leceh, tetapi jangan buat perkara yang salah. Seperti prinsip TYPE II ERROR kita menghukum orang yang tidak bersalah sedangkan dia benar.

Nampaknya hari ini penuh dengan cabaran. Pertama, fail ISO saya hilang. Tak tahu gerangan mana yang pinjam tak pulang balik. Hilang tu pula di bilik ISO. Mungkin niatnya nak buat rujukan tapi dah jadi tak betul sebab tak maklumkan. Kata En Taqudin " fail tuan tu hebat sangat sebab tu ramai yang berminat". Saya jawab balik " Ini bukan soal hebat tapi soal integriti". Kedua, masa saya terlalu padat. Selepas Sabtu ini saya menilai latihan ilmiah, saya kena bergegas ke Residence Hotel kerana terlibat dalam penulisan penyelidikan. Dalam minggu depan pula walau apa pun terjadi kena menyelia praktikum (dah hampir minggu ke 14). Kemudian dipenuhi dengan mesyuarat-mesyuarat yang memerlukan saya hadir. Sekarang tengah menyusun langkah. Itu tidak termasuk lagi panggilan dan sms pelajar untuk buat temu janji. Entahlah, mana satu nak buat ni. Kertas kerja pelajar pun belum ditanda lagi. Ini kerja wajib yang perlu dilaksanakan segera. Nampaknya mungkin ada kerja yang terkemudian dapat dilaksanakan. Apa pun hadapi dengan tabah. Saya percaya bukan semua keinginan dapat dicapai dalam satu masa, asalkan saya bahagia. Dan perjuangan perlu diteruskan.

Monday, March 30, 2009

Pembentangan Hasil Dapatan Kajian Sem 7 2009/2010

Salam khususnya kepada semester 7,

Sebagaimana yang dirancang, pembentangan hasil dapatan kajian akan dijalankan pada 2 hingga 4 April 2009. Kehadiran pelajar semester 7 adalah wajib. Tarikh itu macam bermakna sedikit kerana YAB PM, Dato Seri Abdullah akan mengadap Agong pada 2 April tentang peralihan kuasa.

Namun begitu, kita jalankan kerja kita. Saya baru siap menyusun nama penyelia yang terlibat dalam menilai hasil dapatan kajian tepat jam 12.20 malam. Selang seli saya call Bigs Dah Tau untuk bertanya perkembangan senarai nama. Alhamdullillah, gerak kerja pertama sudah selesai. InsyaAllah senarai penuh akan saya tampalkan besok Isnin 30 Mac 2009 jam 12.00 tengah hari di depan bilik saya. Semua pelajar boleh lihat masa pembentangan dan juga masa kehadiran untuk mendengar pembentangan. Saya tegaskan sekali lagi, tiada kekecualian kepada pelajar dan mesti melibatkan diri sama ada sebagai pembentang atau pun peserta yang mengikuti pembentangan.


Sekali lagi saya ulangi pembentangan hasil dapatan kajian (dalam bentuk power point) harus mengandungi :
1. Tajuk kajian
2. Masalah kajian
3. Objektif kajian
4. Soalan kajian / Hipotesis kajian
5. Metod kajian (termasuk cara pengumpulan data)
6. Dapatan kajian (mungkin banyak slide berkaitan topik ini).

Maksimum jumlah slide adalah 30 slide. Minimum jumlah slide adalah 15 slide sahaja. Masa yang ditetapkan hanya 15 minit pembentangan. Dan selepas itu komen penilai dan sedikit soal jawab daripada penilai.

Di kesempatan ini juga saya menjemput semester 6 yang sedang menyiapkan proposal kajian untuk hadir sekali mengikuti pembentangan hasil kajian. Jadual pembentangan boleh dilihat di depan bilik saya. Datanglah semester 6 untuk mendapat gambaran pembentangan ini kerana semester depan giliran anda pula.


Kepada semester 7, selamat berjuang. Saya doakan semuanya dapat menyampaikan mesej kajian dengan tenang. Hadapilah dengan tabah. Apa yang penting adalah kerjasama....

Sunday, March 29, 2009

SPSS dan N-Vivo

Beruntunglah pelajar latihan ilmiah semester ini. Dapat belajar SPSS dan N-Vivo mengikut soalan kajian masing-masing. Saya rasa puas kerana dapat berkongsi ilmu seminggu dua ni dengan pelajar semester 7. Teringat saya semasa belajar dulu. Saya belajar sendiri SPSS. Saya masih ingat pada waktu itu senior saya Pn. Azura Ishak mengajar saya tentang key in data survey. Setelah berkali kali kali cuba akhirnya menjadi minat. Pada waktu itu saya guna SPSS 6.0 dan sekarang dah SPSS 16.0. Huyyo....cepat benar masa berlalu. Sekarang ni pun saya masih bergiat aktif dalam Persatuan SPSS Malaysia (yang tak tahan yurannya). Ada rakan-rakan saya pada waktu itu terpaksa mengupah orang lain untuk menganalisis data mereka. Jika tak upah, macam mana nak siap projek. Sehelai soal selidik RM 2.00. Bayangkan jika ada 10 helai soal selidik dan 300 orang responden... Yang paling untung adalah orang yang pandai SPSS ketika itu.

Ilmu Nvivo pula masih baru di Malaysia. Nvivo digunakan sebagai alat untuk memproses data kualitatif. Berdasarkan pangasas NVivo, Pat Bazely (saya ikut bengkel beliau di Hotel Hilton dengan bayaran mahal hampir RM500.00 walaupun 2 jam) saya agak ianya popular di dunia pada tahun 2002 tetapi di Malaysia sekitar tahun 2004. Sebelum ini ramai orang menggunakan NuDist untuk menganalisis data kualitatif. Nampaknya Syida, Zul, Nasir, Suliza, Oii dan Hafiza dah mula menguasai apa yang saya ajar. Cuma masalah NVivo ini, alat pemprosesannya hanyalah single user. Jadi jika nak guna memang kena yang original dan berdaftar. Tidak seperti SPSS, di Low Yatt, KL bersepah cd tersebut boleh diperolehi. Sekarang ni pun saya berhajat untuk ambil lesen NVivo sebagai instruktor. Di Malaysia, hanya PM DR Noriah Ishak sahaja sebagai instruktor di Asia. Terima kasih kepada PM Dr Noriah Ishak kerana banyak mengajar saya tentang perisian ini. Dua semester saya belajar dan siap ambil peperiksaannya sekali. Syukurlah dapat apply. Sekarang NVivo dah advance, dari NVivo 2.0 yang saya belajar dah pergi NVivo 8.0. Ada bezanya tu...

Tegasnya, walaupun apa perisian yang digunakan, biarlah analisis dilakukan berdasarkan analisis yang betul. Jangan soalan kajian bukan main hebat tetapi tidak dapat dianalisis. Berkaitan analisis saya akan kongsikan banyak dalam drjazimin.com

  © Blogger template 'A Click Apart' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP