Pergi takkan kembali lagi
Hari ini, ketika saya mengajar Kemahiran Asas Kaunseling di sebuah kelas, saya mendapat panggilan daripada Cikgu Faridah (jiran saya) bahawa suaminya Cikgu Jefri telah meninggalkan dunia ini akibat pendarahan di otak. Bagaikan sudah diduga, saya menjangkakan bahawa amat sukar sekiranya pendarahan otak berlaku seseorang individu itu dapat sembuh sepenuhnya kerana ia melibatkan saraf-saraf penting dalam tubuh kita. Ingatan saya pada Arwah Cikgu Jefri saya mendalam sekali ketika beliau dan isterinya bersusah payah membantu saya ketika anak kedua saya terkena sawan tangis. Peristiwa yang kedua, beliaulah bersusah payah menemani saya ketika saya ditipu oleh seseorang berkaitan denga kereta yang pernah saya gunakan 11 tahun yang lampau. Pertolongannya menjadi kenangan sepanjang hayat hidup saya. Beliau seorang yang pemurah dan jika beliau mengadakan kenduri tidak pernah lupa menjemput saya datang. Syukurlah sempat saya menziarahi beliau ketika beliau koma di Hospital Ipoh walaupun kehadiran saya agak lewat kerana saya terlibat dengan penyeliaan praktikum. Al Fatihah saya sedeqahkan untuk arwah beliau dan saya doakan semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman yang menghuni syurga firdaus.
Yang pergi tidak akan kembali lagi. Itulah pengajaran dan nasihat sepanjang zaman untuk diri saya. Saya pun tidak sangka arwah yang dilihat sihat sepanjang masa, ditakdirkan begitu cepat sekali dijemput oleh Allah SWT. Peristiwa mengenangkan kembali kepada arwah bapa saya yang meninggal dunia akibat jantung mengejut. Saya rasa insaf seketika mengenangkan perkara ini kerana banyak benar rasanya dosa dengan Allah. Saya rasa masih banyak lagi usaha perlu ditingkatkan semoga saya menjadi perhatian Allah dan Allah suka kepada saya. Di akhirat nanti yang ada hanyalah amalan dan amal soleh yang akan dinilai. Dan akhirat itu pasti dan pasti dan pasti akan dirasai oleh semua orang.
Bila tibanya kematian, tugas untuk mengendalikan urusan dunia ini sudah habis. Saya tidak boleh mengajar lagi, saya tidak boleh bergembira macam sekarang lagi, saya akan meninggalkan anak-anak dan isteri saya dan apa yang saya sayang di dunia ini semuanya akan ditinggalkan. Yang akan saya bawa adalah roh saya yang selama ini telah saya bajai. Yang membimbangkan saya sejauhmana roh tersebut mendapat makanan yang cukup. Takut juga....
Bila perginya kita, yang tinggal adalah orang hidup. Orang hidup akan meneruskan langkah seperti biasa. Kadang-kadang orang hidup lupa tentang alam orang yang telah mati. Dan mungkin orang di alam barzakh tahu apa yang orang hidup lakukan. Soalnya manusia tidak akan kembali lagi setelah dimatikan di dunia. Yang pasti dia akan kembali ke alam akhirat untuk pengadilan terakhir samada Syurga atau Neraka. Dan semua orang hidup pasti mati. Orang yang telah pergi tidak akan kembali lagi ke dunia ini. Di dunia inilah waktu terbaik untuk menginsafi diri agar menjadi bekalan yang diredhai di akhirat nanti.
Akhirnya, semoga seluruh keluarga Cikgu Faridah tabah menghadapi dugaan ini. Hanya doalah penghubung antara orang hidup dan juga mati. InsyaAllah petang ini saya akan bergegas ke Teluk Intan untuk memberi sokongan yang sepatutnya. Yang penting, Al Fatihah untuk arwah Cikgu Jefri.
1 comments:
...mmg tkejut, rasanya baru smlm mengusik arwah, hari ni dia sudah berada di alam lain..tiap kali berhdpn dgn berita kmatian terutama yg mengejutkan spt ini, rasa terkedu sebentar....teringat dosa smlm dan dlm masa yg sama terkenang amalan yg masih jauh dr mcukupi. Sama2 lah kita memberi sokongan kpd yg msh tinggal....
Post a Comment