Monday, March 30, 2009

Pembentangan Hasil Dapatan Kajian Sem 7 2009/2010

Salam khususnya kepada semester 7,

Sebagaimana yang dirancang, pembentangan hasil dapatan kajian akan dijalankan pada 2 hingga 4 April 2009. Kehadiran pelajar semester 7 adalah wajib. Tarikh itu macam bermakna sedikit kerana YAB PM, Dato Seri Abdullah akan mengadap Agong pada 2 April tentang peralihan kuasa.

Namun begitu, kita jalankan kerja kita. Saya baru siap menyusun nama penyelia yang terlibat dalam menilai hasil dapatan kajian tepat jam 12.20 malam. Selang seli saya call Bigs Dah Tau untuk bertanya perkembangan senarai nama. Alhamdullillah, gerak kerja pertama sudah selesai. InsyaAllah senarai penuh akan saya tampalkan besok Isnin 30 Mac 2009 jam 12.00 tengah hari di depan bilik saya. Semua pelajar boleh lihat masa pembentangan dan juga masa kehadiran untuk mendengar pembentangan. Saya tegaskan sekali lagi, tiada kekecualian kepada pelajar dan mesti melibatkan diri sama ada sebagai pembentang atau pun peserta yang mengikuti pembentangan.


Sekali lagi saya ulangi pembentangan hasil dapatan kajian (dalam bentuk power point) harus mengandungi :
1. Tajuk kajian
2. Masalah kajian
3. Objektif kajian
4. Soalan kajian / Hipotesis kajian
5. Metod kajian (termasuk cara pengumpulan data)
6. Dapatan kajian (mungkin banyak slide berkaitan topik ini).

Maksimum jumlah slide adalah 30 slide. Minimum jumlah slide adalah 15 slide sahaja. Masa yang ditetapkan hanya 15 minit pembentangan. Dan selepas itu komen penilai dan sedikit soal jawab daripada penilai.

Di kesempatan ini juga saya menjemput semester 6 yang sedang menyiapkan proposal kajian untuk hadir sekali mengikuti pembentangan hasil kajian. Jadual pembentangan boleh dilihat di depan bilik saya. Datanglah semester 6 untuk mendapat gambaran pembentangan ini kerana semester depan giliran anda pula.


Kepada semester 7, selamat berjuang. Saya doakan semuanya dapat menyampaikan mesej kajian dengan tenang. Hadapilah dengan tabah. Apa yang penting adalah kerjasama....

Sunday, March 29, 2009

SPSS dan N-Vivo

Beruntunglah pelajar latihan ilmiah semester ini. Dapat belajar SPSS dan N-Vivo mengikut soalan kajian masing-masing. Saya rasa puas kerana dapat berkongsi ilmu seminggu dua ni dengan pelajar semester 7. Teringat saya semasa belajar dulu. Saya belajar sendiri SPSS. Saya masih ingat pada waktu itu senior saya Pn. Azura Ishak mengajar saya tentang key in data survey. Setelah berkali kali kali cuba akhirnya menjadi minat. Pada waktu itu saya guna SPSS 6.0 dan sekarang dah SPSS 16.0. Huyyo....cepat benar masa berlalu. Sekarang ni pun saya masih bergiat aktif dalam Persatuan SPSS Malaysia (yang tak tahan yurannya). Ada rakan-rakan saya pada waktu itu terpaksa mengupah orang lain untuk menganalisis data mereka. Jika tak upah, macam mana nak siap projek. Sehelai soal selidik RM 2.00. Bayangkan jika ada 10 helai soal selidik dan 300 orang responden... Yang paling untung adalah orang yang pandai SPSS ketika itu.

Ilmu Nvivo pula masih baru di Malaysia. Nvivo digunakan sebagai alat untuk memproses data kualitatif. Berdasarkan pangasas NVivo, Pat Bazely (saya ikut bengkel beliau di Hotel Hilton dengan bayaran mahal hampir RM500.00 walaupun 2 jam) saya agak ianya popular di dunia pada tahun 2002 tetapi di Malaysia sekitar tahun 2004. Sebelum ini ramai orang menggunakan NuDist untuk menganalisis data kualitatif. Nampaknya Syida, Zul, Nasir, Suliza, Oii dan Hafiza dah mula menguasai apa yang saya ajar. Cuma masalah NVivo ini, alat pemprosesannya hanyalah single user. Jadi jika nak guna memang kena yang original dan berdaftar. Tidak seperti SPSS, di Low Yatt, KL bersepah cd tersebut boleh diperolehi. Sekarang ni pun saya berhajat untuk ambil lesen NVivo sebagai instruktor. Di Malaysia, hanya PM DR Noriah Ishak sahaja sebagai instruktor di Asia. Terima kasih kepada PM Dr Noriah Ishak kerana banyak mengajar saya tentang perisian ini. Dua semester saya belajar dan siap ambil peperiksaannya sekali. Syukurlah dapat apply. Sekarang NVivo dah advance, dari NVivo 2.0 yang saya belajar dah pergi NVivo 8.0. Ada bezanya tu...

Tegasnya, walaupun apa perisian yang digunakan, biarlah analisis dilakukan berdasarkan analisis yang betul. Jangan soalan kajian bukan main hebat tetapi tidak dapat dianalisis. Berkaitan analisis saya akan kongsikan banyak dalam drjazimin.com

Sekolah Kluster

Semalam saya dan En Aziz telah menjalankan satu program team building kepada guru dan beberapa kakitangan sokongan di KL. Mereka semua adalah warga sekolah kluster di sebuah sekolah di Negeri Perak.Memang menarik berkongsi dengan guru-guru yang komited ini. Semua guru termasuk pengetua pun terlibat sama sebagai peserta. Guru cemerlang, Penolong kanan, guru kanan, kaunselor, guru mata pelajaran pun terlibat dalam program ini. Bajet mereka besar daripada kementerian. Untunglah guru sekarang perkembangan kerjaya makin cepat, gaji pun makin besar. Mereka ini ibarat projek kementerian untuk membangunkan anak bangsa di sekolah mereka.

Banyak perkara yang saya belajar. Pertama, bila wujud suasana kasih sayang di sekolah, keharmonian dan hormat menghormati akan wujud. Kedua, individu itu akan lebih dihormati sekiranya kita menghormati orang lain. Ketiga, matlamat mesti selaras dengan cara. Matlamat hebat pun tapi cara tak sesuai tidak jalan juga. Keempat, pemimpin mesti berwibawa. Jika pemimpin di sekolah lemah, sekolah kucar kacir. Jika pemimpin autokratik, kakitangan akan takut tidak bertempat. Kelima, duit mesti ada. Tanpa duit, kerja tidak boleh jalan. Kursus tak boleh buat dan kami pun mungkin fikir dua kali untuk ke sana. Ini kerana duit juga keperluan asas. Kalau banyak duit tidak digunakan pun membazir dan kalau guna duit ikut suka pun membazir juga. Tegasnya, bila program duit mesti ada. Keenam, pengendali program perlu di pilih dalam kalangan orang yang mahir dalam mengendalikan program. Jika tidak imej institusi yang menghantarnya mungkin mendapat nama buruk. Ketujuh, bukan mudah menggalas sesuatu harapan orang lain. Yang paling sukar jika dua harapan yang berbeza tidak dapat disatukan menjadi satu harapan. Kelapan, syukurlah mendapat kemudahan untuk mengadakan program. Kerana ada orang yang sangat ingin rasa hadir program tetapi disebabkan masalah kewangan dan bajet, ia selalu mengharapkan sesuatu yang ajaib berlaku. Lagi malang orang-orang ini adalah harapan agama, bangsa dan negara.

Friday, March 27, 2009

2 EMAS, 2 PERAK

Syukur Alhamdullillah. Sentuhan emas jazimin dikabulkan jua oleh Allah SWT. Saya hanya menjalan kajian bersama dengan rakan-rakan saya seperti PM DR MALEK, EN. AZIZ YATIM, EN. TAQUDDIN DAN TN HJ MD NOOR. Hasil penilaian hakim di Ekspo penyelidikan kajian kami berjaya. Saya bersama rakan mendapat 2 Emas dan 2 Perak.

Kajian yang berjaya adalah:

EMAS

1. Kesan Modul Kaunseling Fenomena Tingkah Laku terhadap pelajar buli
2. Tingkah laku langsang dalam kalangan pelajar.

* Kajian ini sampai malam buat persediaan. Akhirnya berjaya. Syukur....

PERAK

1. Kesahan dan kebolehpercayaan 5 Domain (Saya bantu abstrak untuk dipermudahkan)
2. Aplikasi 5 Domain (Nasib baik sempat hantar penyertaan)

Kesimpulannya, saya berazam untuk kajian akan datang saya pula sebagai Ketua Pasukan.

Monday, March 23, 2009

Hari ini tiada senda dalam bicara

Majlis Anugerah Jabatan B&K selesai sudah. Tahniah saya ucapkan kepada Fauzi dan rakan-rakan kerana telah menjalankan tugas dengan baik. Semoga saudara tidak janggal bila ke sekolah nanti sebagai kaunselor dalam menggalas amanah sebagai orang penting dalam majlis di sekolah.

Semasa majlis berlangsung saya tersentak apabila Zero(Azirul) menyanyikan lagu "Hari ini tiada senda dalam bicara". Lagu itu sangat signifikan dengan diri saya. Terkenang saya semasa di sekolah dulu. Sudah lama saya tidak mendengar lagu ini. Semasa Zero mengungkapkan lirik lagu tersebut, tanpa sedar saya menyayi sekali. Puan Hapsah duduk di sebelah saya tersenyum. Saya jelaskan kepada beliau bahawa lagu ini sangat bererti kepada saya. Lagu ini lagu lama, tapi nampaknya Zero masih lagi mewarisinya. Ingin saya mengungkap balik lagu yang Zero nyayikan tadi:

Hari ini tiada senda dalam bicara
Deru air mata merupakan segalanya
Sang hati bicara sendiri
Bagunkan ummah bina generasi

Di bumi yang bertuah ini
Tempat mula ku mengenali
Matlamat hidup sebagai abdi
Kepada Allah, Allah hu Rabbi

Diriku kini sebebas unggas
Terbang riang di angkasa raya
Menyanyi merdu irama kalbu
Indahnya, indahnya oooooo....indahnya...

Wahai generasi... dengarlah pesanan ini
Bumi ini bumi bertuah
Suburnya sesubur tanaman di lembah
Melahirkan insan berjiwa tabah

Teruskan ohh teruskan
Perjuangan menegak kebenaran
Di dalam kebungkaman akhir zaman
Selagi hayat dikandung badan

Wahai teman seperjuangan
Dengarlah harapan ku ini
Pohon untukku dalam doa mu
Diriku pejuang Islam yang satu...

Pukulan maut boling kelapa

Pada pagi semalam (Ahad 22 Mac 8.30 pagi) saya telah bersama-sama dengan pelajar Bimbingan dan Kaunseling meraikan hari keluarga Jabatan B&K. Sungguh meriah sekali. Hilang stres saya. Saya datang tepat pada masanya. Pengarah program, Fauzi menyambut saya dengan wajah yang berdebar-debar. beliau memaklumkan kepada saya setakat ni program berjalan dengan lancar cuma untuk slot futsal semalam ada sedikit masalah komitmen pelajar. Saya terus cakap pada beliau, kita buat mana yang ada asalkan bahagia. Kita datang sini untuk bergembira dan bukannya untuk bersedih-sedih. Here and now.

Sempat saya warming up mengelilingi padang sebelum acara bermula. Pelajar dari semasa ke semasa nampak kelibatnya. Ada yang saya kenal dan ada yang tidak kenal. Masa nilah saya ambik peluang untuk mengenali pelajar yang saya jumpa. Dalam kelas tak ada peluang sangat sebab suasana agak formal. Masa begini rasa macam satu keluarga yang tidak terdapat dibilik kuliah.

Acara dimulakan silih berganti. Jika tidak silap saya mulakan dengan permainan straw dan getah gelang, baling belon, boling kelapa, tarik tali dan badminton. Dalam banyak-banyak permainan tu boling kelapa yang sukar saya lupakan kerana dapat membantu semester 2 mencapai kemenangan. Sekali pukul, 8 botol jatuh. Tergamam seketika. Walaupun semester 6 kidnapped saya, tapi saya gagal bantu mereka. Tarik tali pun menarik juga. Inilah kali pertama dalam hidup saya main tarik tali sampai lima pusingan. Itu sebab bila main badminton berpasangan dengan En Taqudin rasa macam dah nah pancit. Apa pun tahniah kepada Fauzi dan jawatankuasa program. Masa bersama kalian sangat berharga bagi saya pada hari ini.

Wednesday, March 18, 2009

Tempat jatuh lagi dikenang: SDAR

Entah mengapa hari ini saya terkenang tempat kerja pertama saya, SDAR. Sambil memandu Atoz, dan mendengar lagu Ayat-Ayat Cinta banyak kenangan manis saya di sana. Kali pertama saya memijak kaki penuh dengan pengharapan. SDAR ketika itu tidak mempunyai kaunselor yang tetap. Saya dan En. Anuar Adnan (sekarang PK Akademik di TKC) adalah perintis kaunselor di SDAR. Kami ibarat abang dan adik berganding bahu merancang strategi untuk memperkenalkan kaunseling di SDAR. Cabarannya 1001 macam. Baik dalam kalangan pelajar mahu pun guru. Saya akan cerita satu demi satu pengalaman yang berharga tersebut dari semasa ke semasa. Selama lebih kurang LIMA TAHUN saya bertugas di SDAR, sempat saya merasa di bawah tiga orang pengetua. Semuanya best-best dan mempunyai karakter yang perlu disesuaikan dengan kerjaya saya sebagai kaunselor di waktu itu. Jika diikutkan memang banyak ragam. Ragam inilah memberi pengalaman bermakna kepada saya bila berhadapan dengan ketua. Otak mesti ligat berpusing. Niat mesti betul. Hati mesti ikhlas. Badan mesti tahan. Jiwa mesti gagah. Cabaran mesti disahut. Keluarga pun mesti faham.

Bila berhadapan dengan guru-guru ceritanya pula lain. Di kesempatan ini saya ingin merakamkan salam terima kasih kepada guru-guru SDAR yang telah sama-sama membantu dan menyokong saya sebagai kaunselor di SDAR pada tempoh tersebut. Terutamanya Cikgu Yazid, Pn. Norzila, Pn. Hasni, En. Halim, Ustaz -Ustaz, Cikgu Zainah, Cikgu Zakiah, Cikgu Mariana dan ramai lagi yang secara langsung dan tak langsung pernah bekerja bersama saya. Memori itu sangat indah terutamanya bila Program Menggapai Sinar kita masuk dalam surat khabar.

Sebagai kaunselor pengalaman yang saya tidak boleh lupakan ketika menjalankan kaunseling dan aktiviti dengan pelajar. Pengalaman telah mengajar saya bahawa pelajar di asrama perlukan kasih dan sayang. Mereka perlukan penghargaan,keseronokan, kebebasan untuk terus hidup sebagai pelajar yang cemerlang. Pelajar di SBP bukannya nakal sangat. Mereka perlukan bimbingan dan perhatian. Semua memerlukan keprihatinan semua pihak. Pengalaman mengajar saya jika banyak masa dan aktiviti saya luangkan bersama dengan pelajar, ruang untuk mereka melakukan tingkah laku yang tidak sesuai amat minima. Soalnya mampukah kita menyahut cabaran tersebut? Saya akan kongsikan InsyaAllah satu persatu bagaimana perancangan dan tindakan saya dalam membantu pelajar di SDAR ketika itu. Semua masih segar dalam ingatan saya.

Sekarang saya tumpang bangga kerana di SDAR sudah ada 3 orang kaunselor. Dua daripadanya adalah hasil keluaran UPSI. Mereka berdua juga pernah saya ajar. Pengalaman mereka juga mungkin sudah berbeza kerana zaman sedikit berubah. Psikologi juga berubah berdasarkan peredaran semasa. Namun psikologi masih lagi menekankan perasaan, pemikiran, tingkah laku dan fisiologi. Jadi saya fikir sehebat mana kaunselor jangan tinggalkan aspek psikologi. Sebab saya pun mengidam untuk melakukan kejutan kedua sebagaimana pernah Jazimin lakukan di suatu masa dahulu. Saya teringat kata seseorang yang penting di sekolah pada waktu itu "Di sekolah ini saya nampak awak merupakan think thank yang utama."Tetapi ianya tidak semudah itu kerana yang lepas mungkin tidak akan berulang lagi. Jika saya bersedia ia memerlukan pengorbanan sebagaimana lagu ayat-ayat cinta untuk mencapai cinta yang agung memerlukan pengorbanan.

Tuesday, March 17, 2009

Bila Cokmar Di Julang


Semalam saya diamanah oleh pihak Universiti sebagai BENTARA dalam Majlis Konvokesyen. Tugas Bentara adalah membawa COKMAR yang menjadi lambang keagungan akademik. Melangkah dengan penuh tertib ibarat cerita Hang Tuah yang dilakonkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menyebabkan tulang belulang saya terasa berada di dunia kayangan. Di tambah lagi dengan alunan muzik yang membakar semangat jiwa dan raga memperingatkan lagi kisah saya semasa di sekolah rendah yang seringkali membawa panji-panji bendera sekolah samada hari keraian atau pun majlis sukan sekolah.

Terasa lambat sekali kaki melangkah mengiringi Tan Sri Pro Canselor. Kata-kata Dr Nasir menjadi ingatan "Min, jangan buat silap satu pun. Sebab takut silaplah jadi silap". Dengan kemas saya mendukung COKMAR dengan hati yang berdebar-debar. Apa tidaknya sehari dua ni terganggu dengan COKMAR. Sampai isteri saya menyampuk "Banyak berselawat bang, buat sembahyang hajat". Sudah lama saya tidak rasa suasana ini. Ingat kembali kata Tn. Hj. Muzafar "Tuan, kalau tiada tuan majlis ini tidak akan bermula". Semangat keberanian datang kembali. Bukan mudah berada di samping VVIP. Di tambah lagi dengan gurauan Leftenan Muda Aziz Shah "Hebat Min...bukan calang-calang boleh diberi tugas ni". Saya pun membalas balik " Sepatutnya tuan yang bawa amanah ini, tuan kan rotu".

Saat yang menggerunkan sudah tiba. Dengan alunan muzik yang bersemangat patriotik menyebabkan saya bagaikan menghargai apa yang diamanahkan. Sekarang saya ingin membalas balik jasa COKMAR yang telah saya telah lalui tiga zaman pengajian. Sampai saya berkata di dalam hati " Tak sangka aku dapat penghargaan sebegini". Setelah selesai upacara meletakkan cokmar saya pun ke pentas dan terus mengeluarkan buku nota kecil dan mencoret sesuatu untuk tatapan bersama...

Dulu, kini dan selamanya
COKMAR itu teguh
Lambang intelektual sejati
Tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas

Di julang ia setiap zaman
Tanpanya intelektual kita tiada nama
Diletaknya tanda rasmi majlis bermula
Rasa gementar mulia pun ada

Semua menanti penuh harapan
Tepukan bergema kejayaan diraih
Keringat peluh dibalas jua
Bercucuran air mata ibu dan ayah
Melihat anak dipersada pentas
Gembira hiba penuh emosi
Ada ibu tanpa ayah
Ada ayah tanpa ibu
Ada tiada siapa-siapa
Yang ada hanyalah harapan arwah ibu bapa
Menuju ke puncak jaya

Bermula episod lampau dan sekarang
Setelah muhasabah COKMAR dipegang
Bicara sendiri akal berjalan
Ilmu diberi amali dinanti
Ditatang penuh dengan harapan
Orang kampung tidak tahu
Orang bandar tahu dengan caranya
Orang hulu ternanti-nanti
Orang hilir bagai mengharap tuah kita.

Sorak sorai graduan berkumandang
Mengalahkan hujan petir di petang hari
Ribuan taufan menggegarkan dewan
Tidak bisa mengalahkan semangat COKMAR sejati

COKMAR menilai terus membisu
Amanah ilmu penuh harapan
Adakah ia sekadar tradisi?
Atau sebagai lambang tanpa sumbangan?
COKMAR gembira ilmu diamalkan
Ramai yang jahil tentang kebenaran
COKMAR terharu bila kebenaran ilmu dijulang
Ia bersedih bila ilmu dipijak-pijakkan
Ia kecewa ilmu tanpa amal
Apa sumbangan kepada anak bangsa
Gred A berlambak tapi ilmunya entah ke mana

Adakah COKMAR sekadar dipegang
Atau falsafah COKMAR penuh pengertian
Adakah ia sekadar lambang
Atau ilmu dijunjung, IMAN bertambah

Melangkah pulang COKMAR ke tempat asalnya
Bicara sendiri siapa yang tahu
Gementar, semangat, harapan, teruskan langkah, kejayaan
Yang pasti, kebanggaan bila dipertontonkan
Yang tersirat tidak ramai yang mengerti...
Walaupun dia seorang BENTARA.

Nukilan : Ahmad Jazimin (2009)

* Ustaz Akramin sebelah saya ketawa bila saya sedang berangan mencoretkan sesuatu. Beliau pula sedang menghafal ayat-ayat bahasa Arab yang tanpa saya fahami.

Sunday, March 15, 2009

Dari SM SAINS DUNGUN ke dunia Sekolah Agama Rakyat (SAR)


Semasa saya remaja dahulu saya memang tidak maklum tentang dunia Sekolah Agama Rakyat (SAR). Mungkin juga sebab saya daripada tingkatan 1 hingga 5 dihabiskan di Sekolah Menengah Sains Dungun (SMSD) dan tidak tahu sangat tentang SAR ni. Memang di SMSD saya bagai ditatang minyak yang penuh. Semua kemudahan ada. Ada buku teks, padang yang besar, asrama yang lengkap, kemudahan kelas dan pelbagai lagi. Bergantung kepada diri sayalah waktu itu ingin menggunakan kemudahan tersebut atau tidak. Rakan-rakan saya pun semuanya bijak-bijak dan sekarang ni pun ada yang dah jadi guru, doktor perubatan, engineer, peguam, bussiness dan macam-macam lagi. Saya rasa dari segi survival semasa belajar di SBP dahulu tiadalah teruk sangat sebab masa makan dewan makan ada makanan.

Sekarang, setelah saya terlibat secara langsung dalam penyelidikan SAR, ianya banyak menginsafkan saya. Saya sendiri pergi menjenguk di beberapa sekolah SAR di Negeri Perak, rasa sedih pun ada. Beginikan nasib kemudahan pendidikan untuk bangsa dan agama saya. Yang paling saya tersentuh apabila ada dalam kalangan Guru Besar di SAR mengatakan bahawa kami tidak dibekalkan dengan buku teks. Jika tiada buku teks, sukatan pelajaran guna apa? Itu tidak masuk lagi tentang kemudahan pembelajaran yang ada dalam kelas, kelayakan guru yang mengajar, kecukupan guru yang mengajar apatah lagi kehadiran kaunselor tetap di sekolah berkenaan.

Sudah 52 negara kita merdeka, SAR perlu diperkasakan. SAR merupakan tempat warisan ulama yang kebanyakannya berbangsa Melayu Islam. Jika tiada warisan ulama maka tandanya dunia hampir Qiamat. Sama juga kewujudan Sekolah Berasrama Penuh salah satunya untuk menyumbang melahirkan intelektual Melayu yang cemerlang akademiknya, mapan sahsiahnya, sejagat kepimpinannya dan mempunyai kejituan semangat patriotisme yang kukuh.

Semoga inisiatif UPSI mengadakan program Kursus Pedagogi 18 hingga 21 Mac ini kepada guru-guru SAR merupakan langkah pertama dalam memperkasakan sekolah ini. Selepas ini kita taburkan tenaga untuk pelajar-pelajar di SAR pula. Jika saya produk daripada SBP mempunyai niat untuk membantu SAR, maka produk keluaran SAR harus lebih lagi demi membantu anak bangsa kita. Sekarang ni pun saya sedang membantu pihak SBP menyiapkan Modul Kepimpinan untuk semua Sekolah Berasrama Penuh di Malaysia. Mungkin juga institusi yang mengeluarkan kita berbeza tetapi niatnya hanya satu kerana Allah untuk agama, bangsa dan negara.

Kejayaan dan Kesan Reality Therapy dalam membantu individu dan kelompok


Kejayaan Terapi Realiti dalam membantu individu dan kelompok telah saya bentangkan di Kuching, Sarawak semasa saya menghadiri Persidangan Kaunseling Kebangsaan. Nampaknya maklumat sebegitu masih lagi berguna khususnya untuk meyakinkan orang ramai apa yang menyebabkan Terapi Realiti mempunyai sumbangan dalam dunia kaunseling. Di bawah ini saya senaraikan beberapa kajian-kajian lepas yang menunjukkan Terapi Realiti berupaya sebagai proses dalam membantu psikologi manusia.

1. James dan Gilliland (2003) menegaskan Terapi Realiti telah terbukti berjaya dalam institusi pendidikan bermula daripada pra sekolah sehingga ke peringkat ijazah tinggi. James dan Gilliland menyebut bahawa Glasser telah merakamkan segala pengalaman beliau dalam bukunya Schools Without Failure (1969) dan Every Student Can Succeed (2000) yang berkaitan dengan sesi kaunseling yang dijalankan di peringkat institusi pendidikan. Selain itu mengikut James dan Gilliland, pelbagai buku, bengkel, konsultasi, model latihan di sekolah, pendidikan telah dihasilkan untuk memperkembangkan Terapi Realiti. Menurut beliau lagi terapi ini berperanan dalam bidang pengajaran, disiplin, kaunseling dan membantu pihak sekolah dalam aspek pengurusan di sekolah.


2. Menurut Seligman (2006) Terapi Realiti adalah teori yang jelas, berfokus terus kepada masalah, memberi kuasa kepada klien membuat keputusan dan mengutamakan isu-isu yang berkaitan motivasi ke atas klien, kesempurnaan keinginan klien dan kawalan dalam diri klien. Fungsi Terapi Realiti adalah sebagai penghubung penilaian diri yang dilakukan untuk membentuk rasa tanggungjawab dalam membuat pilihan dan perancangan dalam kalangan klien. Seligman menegaskan lagi bahawa hasil kajian-kajian lepas menunjukkan Terapi Realiti berjaya diaplikasikan dalam konteks sekolah, komuniti dan pelbagai jenis masalah klien.


3. Lawrence (2004) telah menilai keberkesanan kaunseling kelompok berdasarkan Terapi Realiti ke atas penentuan diri (self determination) dalam kalangan orang dewasa kurang upaya. Metod yang digunakan adalah jenis eksperimen. Seramai 32 orang peserta kajian yang terlibat. 16 orang mengikuti kaunseling kelompok Terapi Realiti manakala 14 orang merupakan kelompok kawalan. Alat ukur yang digunakan adalah The Arc’s Self-Determination Scale (Adult Version) oleh Wehmeyer 1995 yang mengukur autonomi, peraturan, kuasa psikologi dan kesedaran diri. Sebanyak enam sesi telah dijalankan. Enam sesi tersebut adalah sesi perkenalan, membincangkan basic needs, membincangkan tingkah laku keseluruhan, membincangkan dunia kualiti, membincangkan apa yang ahli kelompok ingin lakukan dan memilih kehendak yang ingin diperbaiki. Dapatan menunjukkan bahawa kelompok yang menjalani Terapi Realiti menunjukkan peningkatan penentuan diri daripada aspek autonomi, peraturan, kuasa psikologi dan kesedaran diri. Dapatan ini menggambarkan bahawa kaunselor dan pekerja sosial yang lain boleh menggunakan kaunseling kelompok berasaskan Terapi Realiti untuk meningkatkan autonomi, peraturan, kuasa psikologi dan kesedaran diri dalam kalangan orang yang kurang upaya.


Banyak lagi perkara yang boleh di kongsi. Bagusnya biarlah sedikit-sedikit barulah rasa nikmat menuntut ilmu dan lebih menghargai ilmu yang dipelajari.


Sumber : Ahmad Jazimin (2008; 2005)


Tuesday, March 10, 2009

Hanya power yang tidak dapat


Hari ini saya rasa sangat gembira. Saya dapat bersama keluarga merehatkan diri di Hot Spring, Sungai Klah, Sungkai. Bukan mudah untuk saya bercuti sama keluarga pada dua tahun kebelakangan ini. Pagi tadi saya masih lagi memikirkan fail ISO yang belum siap. Namun saya bersedia memilih untuk bergembira dengan keluarga. Kesian anak-anak saya. Dah berapa kali janji nak berjalan-jalan untuk bergembira, namun asyik tidak kesampaian. Syukur Alhamdulillah sangat hari ni tercapai juga hasratnya. Pertama, bila rasa kasih dan sayang lebih kuat daripada keinginan untuk menghabiskan kerja-kerja kampus yang belum selesai (power). Jika saya tidak rasa kasih dan kesian, dah tentu saya buat tidak peduli harapan anak dan isteri saya. Kedua, saya memang ingin rehat. Saya rasa penat sangat seminggu dua ni. Banyak benar kerja tak selesai. Hati memang berkobar-kobar ingin siapkan kerja (power) sebab saya tidak suka bertangguh. Namun bila diukur dengan kekuatan badan (survival), saya perlu rehat. Belakang saya dah mula sakit-sakit. Takut juga bila dengar cerita tentang stres yang tidak terkawal boleh jadi strok. Apa tidaknya seminggu dua ni penuh dengan tugas mengajar, menyelia praktikum, meeting, SAR, buat soalan, ISO, pasca siswazah, buat modul, bengkel dan yang paling stres fakulti calonkan saya untuk menjadi BENTARA untuk pegang cokmar semasa majlis konvokesyen. Adoii...Tensionnya. Nak buat meeting kebajikan pun tak sempat lagi walaupun saya dilantik oleh fakulti sebagai Pengerusi Kebajikan FSKPM. Kesian juga saya kat pelajar yang ingin jumpa. Namun saya telah jelaskan kepada mereka perlu buat appoinment dulu dan boleh jumpa bila masa saya lapang. Saya pun tak ingin menyusahkan pelajar untuk tunggu saya depan bilik tapi saya tak muncul-muncul.

Bila saya mandi dalam kolam air panas....Huuhhh...Terasa hilang stres.....

Dapat saya lupakan sebentar perkara yang berserabut di pejabat. Rasa bebas (freedom)daripada segala keputusan dalam mesyuarat dan sebagainya. Di tambah lagi bila saya melayan anak saya, rasa terharu pun ada. Apa tidaknya, saya ni kaki berjalan. Semasa saya menjadi guru kaunseling dulu, bila tiba cuti minggu, saya biasa akan bawa isteri dan anak berjalan. Kami pergi zoo, shopping dan macam-macam lagi. Pendek kata hari minggu penuh dengan aktiviti keluarga. Memang gembira...Dan hari ini saya rasa kegembiraan (fun) tersebut muncul semula.

Namun demikian dalam saat-saat sekarang saya harus berhati-hati agar saya tidak terperangkap dalam konflik love and belonging dan juga power. Ini kerana saya perlu kedua-duanya untuk survival saya.

Tuesday, March 3, 2009

Planning

Wubbolding (2000) telah memberikan contoh bagaimana proses merancang pelan tindakan dilakukan ke atas klien berdasarkan aspek SAMI2C3 sebagaimana dalam transkripsi berikut:

Kaunselor : Hal, you were saying that you wanted life to be better for yourself and you wanted your situation to be better at home and at school.


Klien : Yeah, I guess things could be better.


Kaunselor : How about making an effort to make things better?


Klien : I could try.


Kaunselor : What do you have to lose from trying?


Klien : Well, nothing really.


Kaunselor : What could you do differently at home?


Klien : I could do some of my chores. It really bugs my father when I don’t help out.


Kaunselor : What will you do that is different from what you did in the past?


Klien : I could pick up after myself before he comes home from work.


Kaunselor : What if you did that for a few days?


Klien : I could do it.


Kaunselor : Will you do it?


Klien : Yes.


Kaunselor : When will you start?


Klien : Today.


Kaunselor : What time? Be exact in setting a time.


Klien : Ok. I’ll pick up today at 4.00 p.m.


Kaunselor : How long will it take?


Klien : About 20 minutes.


Kaunselor : So, your plan i to clean up the house, pick up your clothes and other things for 20 minutes starting at 4.00 p.m. today. How many days will you do this?


Klien : I’ll do it every day for 5 days.


Kaunselor : Sounds good. One more questions. What impact will this have on your relationship with your father?


Klien : It can only help.

Sumber : Ahmad Jazimin (2008)


  © Blogger template 'A Click Apart' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP