Sunday, April 19, 2009

Memenuhi keinginan love & belonging






Dalam sesibuk mana pun kerja, kasih sayang terhadap keluarga perlu dipertahankan. Memang sibuk dan masa yang terluang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mengeratkan lagi rasa kasih dan sayang. Saya memilih untuk ke Zoo Negara pada hari ini untuk memenuhi tuntutan kedua-dua anak saya. Mereka juga mempunyai keinginan dalam dunia mereka sendiri yang perlu saya fahami. Jika tidak sampai bila saya hanya memenuhi keinginan saya sendiri tanpa menghiraukan keinginan orang lain. Sebab itu benar juga teori Glasser, hubungan yang baik bila love & belonging nya tinggi. Pada waktu ini saya memang tidak ingin diganggu, konsentrasi saya hanya mahu dengan keluarga.

Program di SK USJ 12


Tuesday, April 14, 2009

ANALISIS MUDAH KAJIAN EKSPERIMEN

Kajian eksperimen penuh dengan ralat dan prosedur yang perlu dilaksanakan dengan teliti. Jika salah prosedur semua dapatan dan kajian tidak bermakna. Di sini saya kemukakan sifir mudah kajian dalam eksperimen terutama menggunakan ujian t dan paired sample t-test. Lain kali saya berkongsi bagaimana penggunaan Anova, Manova, Ancova dan Mancova.

1. Pra kumpulan rawatan vs kumpulan kawalan (independent sample t-test)


2. Pra-post kumpulan rawatan (paired sample)


3. Pra-post kumpulan kawalan (paired sample)


4. Post kumpulan kawalan vs kumpulan rawatan (independent sample t-test).



Monday, April 13, 2009

Pergi takkan kembali lagi

Hari ini, ketika saya mengajar Kemahiran Asas Kaunseling di sebuah kelas, saya mendapat panggilan daripada Cikgu Faridah (jiran saya) bahawa suaminya Cikgu Jefri telah meninggalkan dunia ini akibat pendarahan di otak. Bagaikan sudah diduga, saya menjangkakan bahawa amat sukar sekiranya pendarahan otak berlaku seseorang individu itu dapat sembuh sepenuhnya kerana ia melibatkan saraf-saraf penting dalam tubuh kita. Ingatan saya pada Arwah Cikgu Jefri saya mendalam sekali ketika beliau dan isterinya bersusah payah membantu saya ketika anak kedua saya terkena sawan tangis. Peristiwa yang kedua, beliaulah bersusah payah menemani saya ketika saya ditipu oleh seseorang berkaitan denga kereta yang pernah saya gunakan 11 tahun yang lampau. Pertolongannya menjadi kenangan sepanjang hayat hidup saya. Beliau seorang yang pemurah dan jika beliau mengadakan kenduri tidak pernah lupa menjemput saya datang. Syukurlah sempat saya menziarahi beliau ketika beliau koma di Hospital Ipoh walaupun kehadiran saya agak lewat kerana saya terlibat dengan penyeliaan praktikum. Al Fatihah saya sedeqahkan untuk arwah beliau dan saya doakan semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman yang menghuni syurga firdaus.

Yang pergi tidak akan kembali lagi. Itulah pengajaran dan nasihat sepanjang zaman untuk diri saya. Saya pun tidak sangka arwah yang dilihat sihat sepanjang masa, ditakdirkan begitu cepat sekali dijemput oleh Allah SWT. Peristiwa mengenangkan kembali kepada arwah bapa saya yang meninggal dunia akibat jantung mengejut. Saya rasa insaf seketika mengenangkan perkara ini kerana banyak benar rasanya dosa dengan Allah. Saya rasa masih banyak lagi usaha perlu ditingkatkan semoga saya menjadi perhatian Allah dan Allah suka kepada saya. Di akhirat nanti yang ada hanyalah amalan dan amal soleh yang akan dinilai. Dan akhirat itu pasti dan pasti dan pasti akan dirasai oleh semua orang.

Bila tibanya kematian, tugas untuk mengendalikan urusan dunia ini sudah habis. Saya tidak boleh mengajar lagi, saya tidak boleh bergembira macam sekarang lagi, saya akan meninggalkan anak-anak dan isteri saya dan apa yang saya sayang di dunia ini semuanya akan ditinggalkan. Yang akan saya bawa adalah roh saya yang selama ini telah saya bajai. Yang membimbangkan saya sejauhmana roh tersebut mendapat makanan yang cukup. Takut juga....

Bila perginya kita, yang tinggal adalah orang hidup. Orang hidup akan meneruskan langkah seperti biasa. Kadang-kadang orang hidup lupa tentang alam orang yang telah mati. Dan mungkin orang di alam barzakh tahu apa yang orang hidup lakukan. Soalnya manusia tidak akan kembali lagi setelah dimatikan di dunia. Yang pasti dia akan kembali ke alam akhirat untuk pengadilan terakhir samada Syurga atau Neraka. Dan semua orang hidup pasti mati. Orang yang telah pergi tidak akan kembali lagi ke dunia ini. Di dunia inilah waktu terbaik untuk menginsafi diri agar menjadi bekalan yang diredhai di akhirat nanti.

Akhirnya, semoga seluruh keluarga Cikgu Faridah tabah menghadapi dugaan ini. Hanya doalah penghubung antara orang hidup dan juga mati. InsyaAllah petang ini saya akan bergegas ke Teluk Intan untuk memberi sokongan yang sepatutnya. Yang penting, Al Fatihah untuk arwah Cikgu Jefri.

Friday, April 3, 2009

Asalkan bahagia

Tahniah, sejak semalam nampaknya pembentangan latihan ilmiah berjalan dengan lancar. Setinggi penghargaan saya ucapkan kepada TARMIZI, ANSARUL, ZAHIR dan AZRIN kerana bersedia menjadi petugas sepenuh masa. Walaupun semalam saya tiada dikampus kerana menjalankan tugas membentangkan kertas kerja kepada JPA dan DBKL tetapi sempat petang saya singgah untuk menyapa dapatan kajian pelajar.

Sempatlah saya tegur perbezaan antara kaunseling kelompok dan bimbingan kelompok. Hati-hati nak buat kaunseling kelompok kerana kena pastikan bahawa modul yang dijalankan benar-benar kaunseling dan mendapat kesahan pakar yang sebenar. Saya berpandangan untuk peringkat latihan ilmiah lebih sesuai bimbingan kelompok. Jika laksanakan kaunseling, kelompok rawatan sahaja lebih kurang 3-6 bulan. Saya percaya jika dilakukan mengikut prinsip kaunseling kelompok yang sebenar tidak siaplah latihan ilmiah. Itu tak lihat dari segi contentnya lagi. Kemudian, pengisian falsafah dan aplikasi teori kaunseling perlu dinyatakan dengan jelas. Dan macam-macam lagi tentang ralat dalam melaksanakan kaunseling kelompok. Memang leceh, tetapi jangan buat perkara yang salah. Seperti prinsip TYPE II ERROR kita menghukum orang yang tidak bersalah sedangkan dia benar.

Nampaknya hari ini penuh dengan cabaran. Pertama, fail ISO saya hilang. Tak tahu gerangan mana yang pinjam tak pulang balik. Hilang tu pula di bilik ISO. Mungkin niatnya nak buat rujukan tapi dah jadi tak betul sebab tak maklumkan. Kata En Taqudin " fail tuan tu hebat sangat sebab tu ramai yang berminat". Saya jawab balik " Ini bukan soal hebat tapi soal integriti". Kedua, masa saya terlalu padat. Selepas Sabtu ini saya menilai latihan ilmiah, saya kena bergegas ke Residence Hotel kerana terlibat dalam penulisan penyelidikan. Dalam minggu depan pula walau apa pun terjadi kena menyelia praktikum (dah hampir minggu ke 14). Kemudian dipenuhi dengan mesyuarat-mesyuarat yang memerlukan saya hadir. Sekarang tengah menyusun langkah. Itu tidak termasuk lagi panggilan dan sms pelajar untuk buat temu janji. Entahlah, mana satu nak buat ni. Kertas kerja pelajar pun belum ditanda lagi. Ini kerja wajib yang perlu dilaksanakan segera. Nampaknya mungkin ada kerja yang terkemudian dapat dilaksanakan. Apa pun hadapi dengan tabah. Saya percaya bukan semua keinginan dapat dicapai dalam satu masa, asalkan saya bahagia. Dan perjuangan perlu diteruskan.

  © Blogger template 'A Click Apart' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP