Dari SM SAINS DUNGUN ke dunia Sekolah Agama Rakyat (SAR)

Semasa saya remaja dahulu saya memang tidak maklum tentang dunia Sekolah Agama Rakyat (SAR). Mungkin juga sebab saya daripada tingkatan 1 hingga 5 dihabiskan di Sekolah Menengah Sains Dungun (SMSD) dan tidak tahu sangat tentang SAR ni. Memang di SMSD saya bagai ditatang minyak yang penuh. Semua kemudahan ada. Ada buku teks, padang yang besar, asrama yang lengkap, kemudahan kelas dan pelbagai lagi. Bergantung kepada diri sayalah waktu itu ingin menggunakan kemudahan tersebut atau tidak. Rakan-rakan saya pun semuanya bijak-bijak dan sekarang ni pun ada yang dah jadi guru, doktor perubatan, engineer, peguam, bussiness dan macam-macam lagi. Saya rasa dari segi survival semasa belajar di SBP dahulu tiadalah teruk sangat sebab masa makan dewan makan ada makanan.
Sekarang, setelah saya terlibat secara langsung dalam penyelidikan SAR, ianya banyak menginsafkan saya. Saya sendiri pergi menjenguk di beberapa sekolah SAR di Negeri Perak, rasa sedih pun ada. Beginikan nasib kemudahan pendidikan untuk bangsa dan agama saya. Yang paling saya tersentuh apabila ada dalam kalangan Guru Besar di SAR mengatakan bahawa kami tidak dibekalkan dengan buku teks. Jika tiada buku teks, sukatan pelajaran guna apa? Itu tidak masuk lagi tentang kemudahan pembelajaran yang ada dalam kelas, kelayakan guru yang mengajar, kecukupan guru yang mengajar apatah lagi kehadiran kaunselor tetap di sekolah berkenaan.
Sudah 52 negara kita merdeka, SAR perlu diperkasakan. SAR merupakan tempat warisan ulama yang kebanyakannya berbangsa Melayu Islam. Jika tiada warisan ulama maka tandanya dunia hampir Qiamat. Sama juga kewujudan Sekolah Berasrama Penuh salah satunya untuk menyumbang melahirkan intelektual Melayu yang cemerlang akademiknya, mapan sahsiahnya, sejagat kepimpinannya dan mempunyai kejituan semangat patriotisme yang kukuh.
Semoga inisiatif UPSI mengadakan program Kursus Pedagogi 18 hingga 21 Mac ini kepada guru-guru SAR merupakan langkah pertama dalam memperkasakan sekolah ini. Selepas ini kita taburkan tenaga untuk pelajar-pelajar di SAR pula. Jika saya produk daripada SBP mempunyai niat untuk membantu SAR, maka produk keluaran SAR harus lebih lagi demi membantu anak bangsa kita. Sekarang ni pun saya sedang membantu pihak SBP menyiapkan Modul Kepimpinan untuk semua Sekolah Berasrama Penuh di Malaysia. Mungkin juga institusi yang mengeluarkan kita berbeza tetapi niatnya hanya satu kerana Allah untuk agama, bangsa dan negara.










