Monday, July 27, 2009

Harapan ku subur kembali

Memang dah lama tidak bekarya dalam blog. Sampai satu peringkat ada perkara yang lebih penting dan segera perlu diutamakan dan disegerakan. Blog ditinggalkan sementara walaupun hati kecil seringkali berkata bila ingin berbicara dengan minda dan rasa semasa. Semester ini amat mencabar. Saya rasa masa saya sangat berniali walaupun sekejap. Masa untuk rehat sepenuhnya dipenuhi dengan berfikir untuk melaksanakan suatu kerja yang belum lagi terhasil. Ada rasa tidak puas hati tentang kerja yang dilakukan. Kadang-kadang mudah rasa penat dan stres kerana banyak sangat perkara yang perlu diputuskan dalam satu masa. Syukurlah fajar subuh masih lagi dapat bertafakur. Semoga harapan ku ini subur kembali untuk terus menyampai mesej idea dan kebenaran.

Monday, July 6, 2009

Perjalananan yang amat memenatkan

Lebih kurang jam 9.00 saya baru sampai dari Kuantan atas urusan menyampaikan kuliah untuk program Eksekutif. Program eksekutif ini berjalan satu semester. Perjalanan ini amat memenatkan sebulan dua ini. Banyak kerja yang perlu di langsaikan. Lebih rasa tertekan hari ini semester telah bermula.
Kerja yang paling disegerakan dan penting adalah urusan Persidangan Kebangsaan Kaunseling, kelas ijazah pertama, kelas pasca siwazah, kelas program eksekutif dan Badan kebajikan Fakulti. Itu yang menyebabkan nak bercerita dalam blog pun dah penat. Namun saya kena hadapi jua. Saya kena lawan juga selagi jiwa saya memilihnya.

Friday, June 12, 2009

Cuti dah habis....





























Masa yang paling seronok adalah apabila saya dapat bercuti. Bukan mudah nak cuti. Bayangkan saat-saat saya ambil cuti ada perkara segera yang perlu saya selesaikan dengan Ketua Jabatan tentang Persidangan Kaunseling. Waduhh.....Dan nasib baiklah saya bincang dengan Ketua Jabatan, beliau luluskan cuti. Gembira bukan main. Saya tengok senarai kerja yang ditulis di papan kenyataan bilik saya ada lebih kurang lima belas perkara penting yang perlu diselesaikan segera termasuklah cadangan penyelidikan Dr. Alya yang masih belum saya sentuh. Tak tahu nak mengadu kat siapa. Yang penting saya fikir saya mesti cuti dulu dan rawat hati saya yang saya fikir agak stres. Tak sabar nak cium tangan mak dan jumpa adik-adik di kampung. Sebelum saya berangkat pulang sempat PM Dr Zaidi menyapa, "Baliklah bercuti...Pergi masjid, baca Al-Quran, ambik ketenangan...Memang banyak kerja kita...Itupun tak selesai". Memang tergiang-giang cakap beliau hingga sekarang kerana kesibukan saya kerja sampai nak pergi beriktikaf di masjid pun dah tak ada masa. Memang perjalanan balik menyeronokkan. ketika melalui Lenggong dan Grik terasa kosong kepala. Mahu lupakan sekejap kesibukan di UPSI. Sempat berhenti lima kali untuk minum-minum dan makan keropok lekor dan makan nasi berlauk. Seronoknya rasa. Sampai rumah mak, rasa nak tido dan berjalan-jalan sekitar Jerteh dan rumah saudara terdekat. Sempatlah bawa mak ke Bukit Kluang, Rantau Panjang, ke HUSM melawat bapa saudara, ke Masjid Muhammadi, ke Pasar Siti Khadijah, ke pusara ayahda tercinta dan ke rumah peninggalan arwah tok. Begitulah rutin sehinggalah saya pulang pada hari Rabu kerana ada temu janji dengan syarikat Karangkraf. Dan hari ini cuti dah habis...Saya memulakan rutin hidup yang penuh dengan cabaran semula. Hati kecil saya berkata, bila lah pula saya nak pulang tengok mak. Yang pasti saya yang memilihnya.


























Saturday, May 30, 2009

MANUAL GURU : PENCEGAHAN BULI DI SEKOLAH

Syukur Alhamdullillah. Akhirnya buku Manual Guru: Pencegahan Buli di Sekolah telah ada di pasaran buku terutama syarikat-syarikat buku seperti MPH, Popular dan sebagainya. Buku ini berharga RM 24 di pasaran. InsyaAllah, semoga ada manfaatnya untuk cegah buli di sekolah.

Perlukan Pengorbanan : Sekolah Agama Rakyat









Syukur Alhamdulillah. Program yang dirancang sekian lama akhirnya menjadi realiti. Bermula semalam 29 Mei 2009, Program Bimbingan Akademik dan Kerjaya telah dijalankan sehingg 2 Jun ini. Ia bukan kerja yang mudah kerana banyak individu yang perlu ditangani bermula dengan pensyarah, pihak pengurusan kolej, perpustakaan, unit pengangkutan, pusat IT, Persatuan Kasih, MPP, guru-guru SAR dan seterusnya pelajar-pelajar SAR lebih kurang 186 orang. Terima kasih saya ucapkan kepada pihak kolej KUO dan ajk-ajk terutama Nazri, Ikmal, Abu Hadhalah, Atauullah, Fashan, Rafini, puteri-puteri kasih (lupa dah nama), Azril (presiden Kasih yang sedang bertungkus lumus di kampung kerana kenduri kahwin) dan kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung (lupa nama lah). Yang penting, semuanya memerlukan pengorbanan demi Allah dan Rasulnya.

Tuesday, May 26, 2009

The Practice of Reality Therapy From the Islamic Perspectives in Malaysia and Variety of Custom in Asia

Syukur Alhamdullillah. Berita baik seterusnya, jurnal yang saya karang berjaya masuk dalam International Journal of Reality Therapy pada keluaran Vol. XXVIII, number 2 (Spring 2009). Tajuk jurnal tersebut adalah The Practice of Reality Therapy From the Islamic Perspectives in Malaysia and Variety of Custom in Asia. Yang menariknya dalam jurnal tersebut nama saya paling atas mengatasi nama-nama orang putih yang lain. Dalam penulisan ini saya mengemukakan hujah bagaimana amalan dalam Terapi Realiti (WDEP) selaras dengan Islam yang berpandukan kepada Al-Quran, Hadis, pandangan ulama' dan qias. Sekurang-kurang orang putih pun tahu bahawa amalan Islam ini tidak sempit hanya kepada Solat dan Puasa sahaja. Malah Islam ini syumul merangkumi syariah, ibadah, akhlak dan siasah. Walaupun saya tidak membincangkan secara terperinci daripada pandangan Islam secara mendalam tetapi sekurang-kurangnya sebagai cetusan idea dalam mengembangkan dakwah ilmu Islam. Ini kali kedua tulisan saya keluar setelah tulisan pertama pada Disember 2008. Semoga mendapat barakah Ilahi. Aminn....

Saturday, May 16, 2009

Prodigy Kit Kaunselor: Anugerah Perak ITEX 2009

Syukur Alhamdulillah. Penyelidikan bersama produk PRODIGY telah berjaya merangkul pingat Perak dalam 20 th International Invention, Innovation and Technology Exhibition 2009 (ITEX 2009). Saya, En Aziz, En Taqi, PM Dr Malek, Tn Hj. Md Nor tersenyum puas kerana banyak usaha yang dilakukan untuk menjayakan pameran ini. Bukan satu tugas yang mudah kerana memikirkan tentang needs pengadil. Sekurang-kurangnya usaha dalam seminggu dua ni berhasil. Begitulah dalam akademik, produk bukan semua boleh dilaburkan dan dikomersilkan. Banyak produk orang akademik kadang-kadang diciplak oleh pemikir-pemikir bisnes yang berorientasikan keuntungan. Sebab itu orang akademik bukan orang yang paling kaya dan selalu teraniaya. Orang yang paling kaya adalah businessman, politikus, penyanyi yang dapat one million, jaguh sukan seperti tiger woods dan lain-lain lagi. Mungkin juga niat orang akademik adalah kepada kepuasan ilmu dan nak kembangkan ilmu. Dan mungkin juga orang akademik perlu ubah cara berfikir yang kebiasaannya menilai tinggi harta intelek tidak sebagaimana orang biasa yang menilai harta duniawi? Pilih lah sendiri. Syukurlah, dapat juga Pingat Perak.

Manual Guru: Pencegahan Buli Di Sekolah

Syukur Alhamdulillah. Akhirnya buku Manual Guru: Pencegahan Buli Di Sekolah dapat diterbitkan juga. Saya bekerja lebih kurang enam bulan untuk menulis dan memberi idea dalam buku tersebut. Fokus saya adalah kepada bagaimana guru sebagai pembimbing berkomunikasi dengan pembuli dan mangsa buli dalam memahami tingkah laku mereka. Sebenarnya saya mula melibatkan dengan kajian buli bersama Prof Datin Dr Noran semasa tahun 2003 lagi. Pada waktu itu satu tsunami berlaku di seluruh negara apabila kajian kami menjadi kejutan tentang fenomena buli di sekolah (rujuk laporan kajian tahun 2003/2004). Waktu itu Prof Noran bertindak sebagai Ketua Penyelidik merangkap Dekan di Fakulti Sains Kognitif & Pembangunan Manusia UPSI. Nampaknya kajian ini tidak terputus. Setelah saya kembali daripada pengajian PhD inilah projek penulisan pertama saya. Kebijaksanaan Prof Noran mencari dana daripada UNICEF telah merintis jalan untuk buku tersebut dihasilkan. Kami berkampung beberapa kali untuk membincangkan strategi menghasilkan buku ini. Syukurlah akhirnya menjadi realiti. Saya pun belum lagi dapat daripada penerbit salinan buku ini. Tak tengok lagipun buku yang original. Rasanya dah ada dijual di MPH dan koperasi buku-buku di Universiti. Di bawah ini saya perpanjang berita daripada UTUSAN MALAYSIA pada hari semalam 15 Mei tentang pelancaran buku Manual Buli tersebut.

Buku panduan tangani buli dilancar

PROF. Dr. Noran Fauziah Yaakub (kiri) dan Fatimah Haron memegang buku Manual Guru: Pecegahan Buli di Sekolah sempena Festival Hari Guru 2009, semalam. (saya tak dapat hadir kerana terlibat dengan ITEX 2009).

UTUSAN MALAYSIA

KUALA TERENGGANU 15 Mei - Pihak pengurusan sekolah-sekolah serta guru kini mempunyai panduan untuk mencegah dan menangani masalah buli dalam kalangan pelajar dengan penerbitan buku bertajuk Manual Guru: Pencegahan Buli Di Sekolah.
Buku hasil kajian dan tulisan Pensyarah Jabatan Psikologi, Kolej Universiti HELP, Prof. Dr. Noran Fauziah Yaakub itu memberi panduan dalam segenap aspek buli termasuk mengenal pasti pembuli dan cara pencegahannya.
Buku yang ditulis bersama Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi, Kolej Universiti HELP, Fatimah Haron dan pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Ahmad Jazimin Jusoh diterbitkan oleh Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Majlis pelancaran buku itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said pada Festival Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2009 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini hari ini.
Ketika ditemui selepas majlis itu, Noran Fauziah berkata, buku berkenaan dihasilkan selepas beliau membuat kajian sejak tahun 2000.
''Dengan bantuan kewangan penyelidikan daripada Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), saya mencadangkan kepada pihak pengurusan Kolej Universiti HELP untuk melahirkan buku panduan ini.
''Sebelum ini tiada panduan untuk pihak sekolah dan guru menangani masalah buli," ujarnya.
Katanya lagi, pendekatan menangani masalah buli yang disarankan di dalam buku itu dibahagikan kepada tiga bahagian berasaskan pendekatan tiga peringkat iaitu Sekolah, Bilik Darjah dan Individu dan seterusnya dibahagikan kepada 12 modul.
Jelasnya, bagi peringkat sekolah, ia memberi panduan bagaimana untuk memulakan program menangani buli, membentuk dasar anti buli, amalan sekolah dan menilai keberkesanan program.
''Di peringkat bilik darjah pula, panduan diberikan mengenai amalan bilik darjah, hak dan tanggungjawab kanak-kanak, maksud buli, pembuli dan cara mereka membuli, mengenal pasti pembuli dan peranan saksi dalam insiden buli.

Friday, May 15, 2009

International Technology Inovation Exhibition (ITEX 2009) dan Hari Guru 2009

Saya pada awalnya keliru mana satu yang ingin saya pilih untuk menghadirkan diri. Saya telah diminta untuk hadir ke ITEX 2009 bagi Pertandingan Pameran Teknologi dan Inovasi di KLCC dan dalam masa yang sama diminta juga hadir bagi Pelancaran Buku sempena Hari Guru di Kuala Terengganu. Akhirnya saya memilih untuk hadir ke ITEX 2009 bagi menyokong sepenuhnya Ketua Produk Prodigy, En. Ab Aziz Yatim. Sebab saya fikir saya telah memberikan persetujuan awal untuk komited dalam pameran tersebut. Lagipun kami ada perancangan yang baru yang bakal mengejutkan banyak pihak. InsyaALLAH. Dalam masa yang sama juga fikiran saya melayang ke Majlis Pelancaran buku saya bersama Prof Datin Dr Noran Fauziah dan Pn Fatimah sempena Hari Guru. Buku kami bersama bertajuk Manual Guru : Pencegahan Buli di Sekolah telah dipilih untuk dilancarkan pada jam 9.30 pagi ini sempena dengan Hari Guru Peringkat Kebangsaan. Projek ini adalah hasil geran daripada UNICEF dan telah diterbitkan oleh UTUSAN Publication. InsyaAllah mungkin keluar dalam berita Utusan Malaysia besok. Syukur Alhamdullillah, inilah berita yang baik yang ingin saya umumkan kerana bukan mudah harta intelek orang akademik dapat dikormesilkan. Cuma soal adalah diri saya. Saya selalu berhadapan untuk membuat keputusan yang sukar kerana kedua-dua tu sangat bermakna kepada saya. Saya bimbang saya membuat keputusan yang salah. Yang pasti keputusan perlu dibuat.

Sunday, May 10, 2009

Bagaimana menentukan bahawa itu KAUNSELING?

Ramai dalam kalangan kita yang masih samar-samar tentang aplikasi kaunseling dalam setting akademik mahu pun praktis. Dalam akademik, misalnya mereka yang melaksanakan latihan ilmiah ataupun projek tesis mengaku membuat modul kaunseling berdasarkan teori kaunseling tertentu. Tetapi setelah disemak daripada isi modul tersebut rupanya tidak selaras dengan dengan teori kaunseling yang diwar-warkan. Banyak modul kaunseling yang dicipta yang tidak memenuhi ciri-ciri kaunseling yang sebenar terutamanya modul untuk kaunseling kelompok. Hairannya, jika jelas objektif dan matlamat modul tersebut langsung tidak mengisahkan tentang kaunseling, mengapa mengaku modul tu modul kaunseling?

Situasi yang sama juga berlaku dalam amalan kaunseling. Ramai yang buat kaunseling tetapi tidak menggunakan aplikasi dan proses kaunseling yang sebenar. Banyak yang dilakukan lebih bersifat bimbingan dan campur-campur dengan teknik yang entah apa-apa? Bila ditanya apa falsafah di sebalik amalan kaunseling tersebut, teragak-agak untuk menjawabnya.

Bila di tanya bagaimana proses kaunseling yang anda lakukan, jawabnya saya tidak pasti...Bila ditanya apa kemahiran yang digunakan, jawabnya kita guna here and now...Bila ditanya bagaimana anda memahami individu yang anda ingin tolong berdasarkan teori kaunseling yang anda pilih, jawabnya teori tak penting...Bila ditanya, ok bila anda kata teori tak penting, amalan kaunseling yang bagaimana yang anda lakukan? Jawabnya ikut jelah situasi....

Semua jawapan di atas menggambarkan bahawa kaunselor tu memang tidak memahami kaunseling sepenuhnya. Saya tidak pasti apa kefahaman sebenar kaunselor tersebut.

Bagi saya, kaunseling itu dinilai berdasarkan kepada empat perkara penting iaitu :

1. Proses melaksanakan kaunseling bermula daripada pra sesi, penerokaan, mengenal pasti masalah klien, klien membuat keputusan sehinggalah penamatan.

2. Kemahiran Asas Kaunseling yang digunakan. Parafrasa ke, refleksi ke, membuat rumusan ke, minta penjelasan ke, dorongan minima ke, asalkan tidak lari dari kemahiran asas kaunseling.

3. Memahami klien berdasarkan teori kaunseling yang dipilih. Siapa kata teori tak penting dan tak boleh guna? Teori ini ni tak penting ke atau kaunselor tu tak reti dan tak faham nak guna teori. Jika teori kaunseling tu tak penting dah tentu dalam pengajian kaunseling, teori kaunseling tersebut terus terkubur dan berkubur. Jadi untuk laksanakan kaunseling, kaunselor harus mempunyai kefahaman teori kaunseling yang dipilihnya secara mantap untuk membincangkan mengapa klien tersebut bermasalah. Barulah nampak hebatnya profesion kaunseling bahawa setiap isu yang ditimbulkan oleh klien dapat dianalisis secara saintifik berdasarkan teori kaunseling yang diyakini oleh kaunselor tersebut.

4. Aplikasi teori kaunseling yang dipilih dalam membantu klien. Setiap teori mempunyai aplikasi mereka masing-masing dalam membantu klien. Jadi aplikasi teori kaunseling tersebut sangat membantu proses kaunseling dalam memberi rawatan atau pencegahan kepada klien. Misalnya dalam CTRT aplikasinya WDEP. Dalam REBT aplikasinya ABCDE. Dalam Rogers aplikasinya adalah melayan mendengar secara empati yang mendalam, genvin dan terima tanpa syarat. Jadi macam-macam lagi teori yang kaya dengan aplikasi untuk membantu klien. Soalnya berapa ramai yang faham dan guna aplikasi kaunseling untuk membantu klien mereka.

Yang peliknya, tanpa mempunyai proses kaunseling, kemahiran asas kaunseling, pemahaman klien berdasarkan teori kaunseling dan aplikasi teori kaunseling yang pilih oleh kaunselor, kita mengaku menggunakan KAUNSELING. Kesesatan ini lah yang perlu diperbetulkan.

  © Blogger template 'A Click Apart' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP