Sunday, January 11, 2009

Berkelana ke APEX Universiti

Bagaikan terkejut saya dibuatnya pada hari pertama kuliah. Semester ini banyak tugas dan tanggung jawab yang saya perlu laksanakan. Saya diberi tugas mengajar tiga subjek Kaunseling Kerjaya, Etika Kaunseling dan Kemahiran Kaunseling. Dalam masa yang sama tugas berat saya menyelaras latihan ilmiah pelajar tahun akhir. Dengar pula cerita silap-silap saya kena kendalikan pasca siswazah. Cabaran betul!!! Itu menyebabkan blog saya gersang seketika...

Langkah kanan kuliah hari pertama penuh dengan cabaran. Dato VC telah keluarkan satu surat untuk saya ke USM. Sempat saya berbicara di bilik kuliah pada jam 8 pg. Pelajarnya terdiri daripada semester 2. Rindu pula saya kepada semester 5 ketika saya mengajar kaunseling individu II dahulu. Saya suka kepada idea yang baru dan analitikal. Nampaknya semester 2 ni cepat mereka tangkap maksud nurani saya.

Besoknya saya bersama driver universiti bertolak ke universiti APEX USM. Rasa macam gah dapat ke sana. Tetapi kenapa saya rasa sakit kepala. Teruk benar jem nya. Di pintu pagar USM tersergam indah poster International Counseling and Social Work Symposium. Rasa teruk juga jadi pensyarah. Bukan senang nak selesaikan kerja dengan sempurna. Lepas satu satu. Saya mengingatkan diri saya hadapi dengan seadanya. Setiap pilihan ada kos melepasnya. Harap-harap En. Aziz Yatim tak pergi ke sekolah balik atau IPG. Jika tidak patah sayap bertongkatkan paruhlah saya. Banyak kerja sangat rasanya...

Kegembiraan yang tidak terhingga apabila saya dapat bertemu dengan guru-guru saya. Mereka memberi harapan kepada saya. Senyuman dan buah fikiran mereka membuat kan saya bermotivasi. Orang pertama yang dapat saya cium tangannya adalah guru saya Prof Emeritus Dr Amir Awang. Masih sihat dan segar ingatannya. Perkara yang saya tidak boleh lupa adalah senyumannya. Kemudian saya berjumpa dengan guru saya Dr Fadhil Che Din, Ketua Pengarah Institut Sosial Malaysia. Yang mencabar bila berbincang kereta alfa romeo dan Alhambra, Granada di Andalusia dengan Prof Dr Othman Mohamad. Saya akan ulas perbincangan dengan Prof Othman tentang Psikologi Kognitif Ad-Din dalam slot lain nanti. Perbicangan yang teraputik dengan Prof Emeritus Dato Halim Othman meninggalkan kesan. Katanya kaunselor sekarang masih miskin dengan penggunaan teori kaunseling yang betul. Guru saya Dr Maznah Baba sentiasa cool dan merendah diri. Saya tidak hairan dengan kehadiran orang luar negara yang ramai kerana saya lebih seronok dengan guru-guru saya. Saya sangat menghormati dan menghargai guru saya. Hatta yang masih segar diingatan saya apabila Allah makbulkan saya bertemu dengan guru saya En Yusoff Ahmad di satu majlis PERKAMA. Saya ingin bertemu sangat dengannya kerana saya tahu dia sakit lama sebelum ini. Seronok saya bukan main rasa ingin menitis air mata kerana dia adalah guru saya.

Saya juga dapat berjumpa rakan-rakan seperjuangan saya. Mereka masih kekal sebagai kaunselor di sekolah dan jabatan kerajaan. Saya tabik kepada mereka kerana dengan adanya mereka yang menyebabkan kaunseling masih lagi beroperasi. Saya memang respect kepada kaunselor yang niatnya menolong klien. Saya memang respect kepada kaunselor yang memberi khidmat sebaik mungkin dalam menolong individu baik di sekolah atau sebagainya. Kerana kaunseling adalah praktis, praktis, praktis dan praktis. Agak janggal kepada saya jika kaunselor langsung tiada pengalaman kerja sebagai kaunselor. Ibarat seorang jurutera yang hanya tahu spanar tetapi tidak mampu untuk menggunakannya. Baik jadi seperti mekanik biar pun gaji kecil tetapi mampu mengaplikasikan ilmunya. Semua kereta mekanik itu boleh baiki kerana dia belajar untuk praktis. Mungkin orang akan bertanya saya kenapa tidak menjadi mekanik? Saya akan jawab kenapa nak jadi mekanik sedangkan saya boleh jadi jurutera? Isunya adakah jurutera itu mahir dan tahu kerja buat mereka selepas ini? Dengan lain perkataan, sejauhmana kaunselor dapat menjana ilmu mereka.

Saya bermalam di banglo USM. Rasa seram juga kerana banglo tersebut besar dan sunyi pula tu. Sempatlah makan pasembur di Padang Kota walaupun rasanya kurang sedap dan mahal pula tu. Saya juga mencuri masa ke perpustakaan USM. Memang hebat !!! Banyak buku kaunseling. Sempat saya membeli buku-buku berkaitan. Tidak sedar habis hampir RM 500.00 . Itu lah kegembiraan saya bila pergi ke suatu tempat ilmu, biasa saya membeli satu buku atau lebih. Dah jadi tabiat. Tetapi yang pasti saya hanya berkelana sebentar di USM kerana sekarang saya masih cintakan UPSI. Saya sayang UPSI kerana keamanan dan keharmonian manusia dan persekitarannya. Akan datang belum pasti lagi. Saya tidak berminat untuk memikirkannya. Walaupun terlintas juga sedetik adakah suatu hari saya akan berkelana juga di sini ...

0 comments:

  © Blogger template 'A Click Apart' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP