Tuesday, January 27, 2009

Buat sampai jadi : PUSAKA 01


Dah lama idea Pusaka ni. Seingat saya masa tahun 2004 lagi Pusaka 01 seringkali dibincangkan bersama. Key personnya En. Aziz Yatim. Semuanya berdasarkan pengalaman beliau mengendalikan program kaunseling. Tapi bila matlamat untuk diterbitkan menjadi produk dan hasilnya boleh dijual dan dinikmati oleh semua orang, ia bukannya suatu perkara yang mudah. Banyak inform consent yang perlu dilakukan. Banyak bahan yang kena diteliti untuk mengekalkan originalitinya. Syukur Alhamdullillah, mimpi hampir menjadi kenyataan. Saya dapat menyumbang kerangka model bagaimana ingin memahami PUSAKA 01. Saya fikir untuk menghasilkan sesuatu bahan, kita mesti keluar daripada bumi UPSI. Jika tidak semua kerja tak selesai. Maklumlah pensyarah selalu didatangi pelajar, mesyuarat yang masing-masing berbeza dan kuliah yang wajib dihadiri. Biasanya bila saya komited, saya akan buat sampai jadi...

Monday, January 26, 2009

Komitmen vs Ambil Mudah

Syukur Alhamdulillah. Pengalaman membina akreditasi kaunseling untuk piawai Kebangsaan dan International dah hampir selesai di Cameron Highland. Pertemuan kedua akan dibuat di UUM, InsyaAllah akan membuahkan hasil kepada profesion kaunseling seluruh negara dan international. Saya paling seronok kerana dapat berjumpa dengan guru lama saya Tan Sri Dato' Wira Nordin Kardi. Beliau masih cergas dan fikirannya masih tajam walaupun sudah hampir 60-an. Paling kelakar apabila beliau menggelarkan saya sudah pakai seluar YB mungkin kerana badan saya dah semakin "debab" tidak seperti zaman 90 an yang lampau. Namun apa yang menarik tentang diri beliau adalah beliau sangat minat bermain golf sekarang. Sempat Tan Sri mengusik saya "tuan wajib main golf kerana golf adalah permainana masa depan, barulah badan slim tak macam YB". Bila berbual dengan Haji Muzafar, kami terdekah-dekah mengenangkan kata-kata sinis daripada Tan Sri. Bila agaknya nak kuruskan badan balik ni ya?

Walaupun di atas bumi Cameron, tetapi fikiran saya melayang kepada pelajar-pelajar tahun akhir saya yang sedang membentangkan latihan ilmiah di UPSI. Saya rasa tidak sabar-sabar untuk pulang melihat bagaimana proses pembentangan pelajar dijalankan. Boleh dikatakan saya sentiasa sms Tarmizi, pelajar saya lantik sebagai AJK untuk mengetahui perkembangan. Syukur Alhamdulillah komitmen pensyarah sangat menggembirakan saya. Namun malang bagi saya adalah KOMITMEN PELAJAR terutama hari Sabtu yang merupakan kemuncak pembentangan latihan ilmiah kerana sepatutnya melibatkan penyertaan yang ramai .

Dengan bersemangat, saya bergegas turun dari Cameron kerana seronok untuk menyelia dan menilai pelajar pada hari Jumaat malam lagi. Saya sanggup bersengkang mata mendengar pembentangan pelajar dengan niat membetulkan mana yang salah dan menyokong mana yang betul. Malam tersebut komitmen pelajar untuk hadir masih baik, hanya 5 orang yang tidak hadir.

Apa yang menyedihkan saya adalah pada pagi Sabtu. Saya rasa tidak sampai 40 orang hadir daripada 140 orang. Saya terfikir, adakah pelajar pentingkan diri sendiri? Hanya nak bentang yang dia punya kemudian cabut dan tidak memberikan sokongan kepada rakan-rakan yang lain. Saya sudah taklimatkan kehadiran adalah wajib kerana ia melibatkan penilaian dalam latihan ilmiah dua minggu sebelumnya. Jika bukan untuk diri pun atau pun sebagai pembentang adakah tidak boleh dijadikan sebagai tanda hormat kepada guru yang mengajar dan membimbing?

Saya rasa saya masih memberikan komitmen yang tinggi kepada guru-guru saya walaupun saya telah bergelar pensyarah kerana saya percaya kepada keberkatan ilmu. Melainkan jika saya mempunyai komitmen yang lebih utama maka saya akan menjelaskan kepada guru saya mengapa saya tidak boleh hadir. InsyaAllah jika saya tidak mempunyai masalah lain saya akan hadir tepat pada masa dan memberikan komitmen yang sepenuhnya. Melainkan jika saya saya tidak mahu, maka saya akan menarik diri lebih awal lagi. Sejarah saya semasa sekolah, sebelum pengawal keselamatan membuka pagar sekolah saya telah terpacak di depan sekolah. Kadang-kadang adik saya yang lambat datang sekolah pun saya marah. Sejarah saya, saya orang paling awal dan sering bertukar ganti dengan pengetua sekolah semasa saya menjadi kaunselor di salah sebuah sekolah dahulu. Dan sekarang, tabiat tersebut masih lagi saya bawa ketika bertugas di UPSI. Boleh semak punch card saya pukul berapa saya datang UPSI.

Saya memang berkecil hati dengan komitmen pelajar pada hari Sabtu tersebut. Mereka yang telah meminta kebenaran saya kerana mempunyai kecemasan keluarga saya tidak kisah sangat. Saya sangat faham bahawa jika benar ada kecemasan saya akan memudahkan orang berada dalam kesusahan. Malah saya membenarkan hampir 5 orang pelajar balik disebabkan hal kecemasan. Bagi pelajar berbangsa Cina saya benarkan mereka balik hari Khamis petang lagi selepas mereka membuat pembentangan. Saya faham itu hari raya mereka dan hak mereka untuk balik.

Yang hairannya, kenapa hanya tinggal hampir 40 orang sahaja hari Sabtu ? Nak kata terlibat dengan raya Cina, majoritinya orang Melayu. Nak kata susah tiket bas hari Ahad pun boleh ambil lagi. Yang saya rasa ralat sangat, saya sudah taklimatkan tentang pembentangan latihan ilmiah pada tarikh 22-24 Januari. Tiada seorang pun membantah tentang tarikh tersebut. Saat beginilah saya terbayang saya menjadi HITLER semasa saya belajar di SBP dahulu. Sebagai pemimpin pelajar pada waktu itu, apa sahaja cara perlu dilakukan untuk mencapai matlamat. Bayangkan pada waktu itu saya boleh rotan pelajar walaupun saya pelajar. Semua ahli blok macam takut dengan saya. Kekuatan saya pada waktu itu kerana saya mendapat sokongan yang sepenuhnya daripada pelajar yang sama "badge" dengan saya dan juga warden. Warden pun dah faham perangai saya. Semua mesti perfectionist bagi saya. Di waktu itu untuk mencapai matlamat, ihsan tidak dipedulikan lagi. Yang penting matlamat tercapai dan bukan prosesnya. Mungkin juga itu cara yang terbaik kot.

Sekarang saya ligat berfikir. Mungkin zaman dah berubah kot? Lagenda Jazimin tidak boleh dikembalikan lagi. Dulu tak sama dengan sekarang ke ? Tapi saya ada jawapannya walaupun zaman berubah, adakah psikologi juga berubah? Ada beza ke air mata orang zaman dulu dengan sekarang? Ada beza ke komitmen orang dulu dengan sekarang ? Atau ada beza ke orang ambil mudah sesuatu perkara dulu dan sekarang ? Ada beza ke hormat orang dulu atau sekarang ?

Berfikir pun tidak menyelesaikan masalah. Saya rancang untuk berbuat sesuatu. Dan setakat ini, InsyaAllah Jazimin jarang gagal dalam perancangannya...Saya akan buat sesuatu...Semoga Allah memudahkan demi kebaikan bersama...sebab saya juga nak belajar apa makna KOMITMEN.

Tuesday, January 20, 2009

Kalau tidak ada etika kaunseling, tak boleh ke ?

Leceh juga kaunseling ni, setiap tingkah laku kena beretika. Kenapa? Kalau tidak ada etika tak boleh ke? Apa makna etika sebenarnya? Tengoklah siapa yang ciptanya. Ada orang kata etika adalah prinsip moral / kepercayaan yang ditetapkan oleh individu atau kumpulan yang harus dipegang untuk membuat sesuatu tindakan atau tingkah laku. Ada pula berpandangan etika adalah prinsip moral (atau akhlak) atau nilai-nilai yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan ( persatuan, pekerjaan) dan ia merupakan panduan yang harus diikuti. Etika juga adalah keunggulan terhadap ciri-ciri dan tingkah laku manusia. Ianya merupakan satu kod tingkah laku yang baik dan diterima oleh masyarakat tertentu. Bagi saya, tiada pula pengertian etika yang matlamatnya ingin memusnahkan kehidupan seseorang. Individu itu yang menyesuaikan dengan etika yang ada. Sebab individu itu adalah makhluk yang maujud tetapi etika sebagai panduannya. Ada manusia, sebab itu ada etika. Ada profesion kaunseling wajib ada etika kaunseling sebab bukan semua faham dosa pahala. Sedikit sangat yang tahu tentang hukum wajib, harus, sunat, haram dan halal. Maka etika kaunseling menjamin akhlak dan moral yang bersih dalam masyarakat. Di sisi Tuhan, jika keikhlasan yang menjadi niatnya, sudah tentu tanpa membaca KOD ETIKA PERKAMA pun kaunselor tersebut telah cuba mempraktiskan etika kaunseling sebenar. Yang kurangnya, keikhlasan sukar untuk diukur. Sebagaimana cantik sangat subjektif. Masing-masing memberikan seribu satu pandangan tentang keikhlasan. Kalau tidak ada etika bertulis, maka mungkin arahannya tidak jelas dan tidak nampak. Bila adanya dokumentasi tentang etika barulah seseorang itu dapat melihat secara objektif bahawa mana satu boleh dan mana satu yang tidak boleh. Maklumlah sebagai manusia biasa walaupun kita digelar kaunselor satria, kita tidak boleh tidak berhadapan dengan pelbagai isu. Isu itu mungkin peribadi, sosial atau pun berbentuk profesional. Adakah kita larat berhadapan dengan semua isu dengan mengatakan bahawa kita dilahirkan semulajadi untuk menjadi yang terbaik? Jika itu jawapannya, lupakan sahaja tentang etika, kerana mungkin kita lebih daripada malaikat. Sedangkan malaikat juga sangat patuh kepada perintah Allah. Bermakna malaikat juga sangat beretika. Jadi boleh ke kita tanya kalau tidak ada etika tak boleh ke ? Jika jawapannya tak boleh ? Apa hujahnya ?

Saturday, January 17, 2009

Kenapa takut sangat latihan ilmiah ?

Saya baru selesai menyusun nama-nama pelajar untuk membentangkan latihan ilmiah. Niat saya agar pelajar tahu apa praktis kajian sebenarnya. Latihan ilmiah tidak sama dengan buat kertas kerja biasa. Latihan ilmiah ada penyeliaan. Bila penyelia komen, pelajar akan membaikinya. Proses ini merupakan proses yang paling mencabar kepada pelajar. Saya tahu ramai pelajar merungut. Niat saya membetulkan perkara yang salah. Banyak praktis kajian tidak sama dengan dengan apa yang diajar secara teori. Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman, yang salah apabila masalah kajian tidak jelas. Objektif kajian tidak selaras dengan masalah kajian. Definisi konsep dan operasional tidak jelas. Kepentingan kajian tidak dinyatakan dengan jelas. Yang paling ekstrim apabila soalan kajian tidak selaras dengan metod kajian. Soalan kajian tinjauan , metod guna eksperimen (adoiiii). Soalan kajian eksperimen, metod kajian kes (ini lagi teruk). Pendek kata setiap inci dalam latihan ilmiah hendaklah selaras. Malangnya jika soalan kajian tidak boleh di analisis. Tajuk bukan main hebat tetapi tidak boleh di analisis. Ertinya kajian tersebut tiada penghujungnya. Jadi, jika pelajar tidak dilatih melihat kebenaran dan kesilapan, bila masa mereka ingin belajar melaksanakan kajian. Sebab itu kajian hendaklah sistematik. Kajian ada metodologi tertentu. Kajian adalah saintifik. Kajian mengikut prosedur tertentu. Kenapa marahkan prosedur sebab takut susah? Mana-mana tempat pun ada prosedur dan peraturan. Melainkan orang tersebut rimas dengan prosedur. Jadi kenapa takut sangat dengan prosedur. Melainkan orang itu tidak buat apa apa. Jadi, kenapa takut sangat dengan latihan ilmiah???

Monday, January 12, 2009

Apa ertinya Kaunseling di bumi Palestin

Sayu dan gerun melihat penderitaan penduduk Gaza, Palestin ditembak hidup-hidup oleh puak-puak Israel. Di peringkat ini nilai kemanusiaan tidak dihiraukan lagi. Jika dilihat berdasarkan sentimen, darah mesti di balas dengan darah. Apa salah Palestin? Salah ke mereka mendiami bumi mereka sendiri? Kenapa kejam sangat Yahudi? Soalnya Yahudi telah memilih kemurkaan Allah. Puak Yahudi yang menembak mati dan mencederakan penduduk Palestin kerana mereka inginkan kuasa. Mereka mahu semua dunia tahu bahawa mereka lah puak yang paling hebat di dunia. Mereka tidak kisah apa orang lain kata. Mereka lebih suka orang tahu bahawa inlah kekuatan bala tentera mereka. Yahudi tiada sifat kasih dan sayang sesama manusia. Seorang kaunselor satria pun belum tentu dan tidak boleh menyejukkan hati Yahudi. Ilmu kaunseling tidak sepadan untuk menolong orang Yahudi faham tentang erti kemanusiaan. Kenapa Islam boleh faham individu Yahudi ? Kenapa orang Yahudi tidak boleh faham tentang erti kasih sayang dan kemanusiaan sesama insan? Mana William Glasser, Natalie Rogers, Ellis, Carlson dan sebagainya lagi ? Tidak bolehkan saudara-saudara tokoh ternama ini menasihati rakan tentera di Palestin agar memberhentikan keganasan? Jika saudara diperlakukan sedemikian rupa adakah saudara mengatakan bahawa Islam itu kejam? Di mana silapnya Islam sehingga tanpa pertimbangan emosi, rakan sebangsa saudara membunuh umat Islam di Palestin. Tidak kesiankan saudara kepada mereka?

Yahudi memang seronok melakukan pembunuhan kerana itulah keinginan mereka. Mereka mahu melihat Islam hancur. Tidak hairan lah tingkah laku mereka selaras dengan kehendak mereka. Mereka suka jika orang Islam dibuli. Mungkin mereka rasa bebas jika hak Palestin mereka ragut. Sekarang mereka rasa diganggu dan tiada privasi kerana ada Hamas. Takut apa pada Hamas? Siapa pengganas sebenarnya Hamas atau kamu yang bernama Yahudi. Hamas tidak akan bertindak jika kamu tidak menggangu maruah agama, tanah air dan kehormatan diri mereka. Kami orang Islam sangat hormat kepada semua bangsa. Islam itu sebenarnya kebebasan. Jika kamu wahai Yahudi inginkan kebebasan fahamilah agama kebebasan kami yakni Islam.

Pemikiran kamu semua bangsa adalah terkutuk. Kamu membunuh untuk survival kamu. Kamu menanggap orang yang amalkan Islam sebagai penyekat agama kamu. Untuk meneruskan matlamat kamu tersebut wahai Yahudi, orang Islam Palestin mesti dihapuskan. Jadi kamu telah memilih jalan kamu sendiri. Saya tidak tahulah jika ada dalam kalangan kamu wahai Yahudi ada yang mempunyai nafs mardhiah dan mutmainnah. Soalnya, sampai bila kamu memilih untuk bertingkah laku secara nafs al amarah bissuk. Saya fikir Glasser pun boring untuk melaksanakan sesi kaunseling dengan kamu kerana kamu sudah mempunyai jawapan terhadap impian kamu. Dan kamu telah membuktikan sekarang bahawa kasih dan sayang kamu kepada orang Islam Palestin sangat rendah sekali.

Yang saya boleh buat adalah berdoa kepada Allah agar suasana keamanan dan keharmonian kembali semula di bumi Palestin kerana saya tahu sudah lama total behavior orang Palestin tersiksa di sebabkan kerakusan kamu. Semoga Allah memperkenankannya ...AMINNN

Sunday, January 11, 2009

Berkelana ke APEX Universiti

Bagaikan terkejut saya dibuatnya pada hari pertama kuliah. Semester ini banyak tugas dan tanggung jawab yang saya perlu laksanakan. Saya diberi tugas mengajar tiga subjek Kaunseling Kerjaya, Etika Kaunseling dan Kemahiran Kaunseling. Dalam masa yang sama tugas berat saya menyelaras latihan ilmiah pelajar tahun akhir. Dengar pula cerita silap-silap saya kena kendalikan pasca siswazah. Cabaran betul!!! Itu menyebabkan blog saya gersang seketika...

Langkah kanan kuliah hari pertama penuh dengan cabaran. Dato VC telah keluarkan satu surat untuk saya ke USM. Sempat saya berbicara di bilik kuliah pada jam 8 pg. Pelajarnya terdiri daripada semester 2. Rindu pula saya kepada semester 5 ketika saya mengajar kaunseling individu II dahulu. Saya suka kepada idea yang baru dan analitikal. Nampaknya semester 2 ni cepat mereka tangkap maksud nurani saya.

Besoknya saya bersama driver universiti bertolak ke universiti APEX USM. Rasa macam gah dapat ke sana. Tetapi kenapa saya rasa sakit kepala. Teruk benar jem nya. Di pintu pagar USM tersergam indah poster International Counseling and Social Work Symposium. Rasa teruk juga jadi pensyarah. Bukan senang nak selesaikan kerja dengan sempurna. Lepas satu satu. Saya mengingatkan diri saya hadapi dengan seadanya. Setiap pilihan ada kos melepasnya. Harap-harap En. Aziz Yatim tak pergi ke sekolah balik atau IPG. Jika tidak patah sayap bertongkatkan paruhlah saya. Banyak kerja sangat rasanya...

Kegembiraan yang tidak terhingga apabila saya dapat bertemu dengan guru-guru saya. Mereka memberi harapan kepada saya. Senyuman dan buah fikiran mereka membuat kan saya bermotivasi. Orang pertama yang dapat saya cium tangannya adalah guru saya Prof Emeritus Dr Amir Awang. Masih sihat dan segar ingatannya. Perkara yang saya tidak boleh lupa adalah senyumannya. Kemudian saya berjumpa dengan guru saya Dr Fadhil Che Din, Ketua Pengarah Institut Sosial Malaysia. Yang mencabar bila berbincang kereta alfa romeo dan Alhambra, Granada di Andalusia dengan Prof Dr Othman Mohamad. Saya akan ulas perbincangan dengan Prof Othman tentang Psikologi Kognitif Ad-Din dalam slot lain nanti. Perbicangan yang teraputik dengan Prof Emeritus Dato Halim Othman meninggalkan kesan. Katanya kaunselor sekarang masih miskin dengan penggunaan teori kaunseling yang betul. Guru saya Dr Maznah Baba sentiasa cool dan merendah diri. Saya tidak hairan dengan kehadiran orang luar negara yang ramai kerana saya lebih seronok dengan guru-guru saya. Saya sangat menghormati dan menghargai guru saya. Hatta yang masih segar diingatan saya apabila Allah makbulkan saya bertemu dengan guru saya En Yusoff Ahmad di satu majlis PERKAMA. Saya ingin bertemu sangat dengannya kerana saya tahu dia sakit lama sebelum ini. Seronok saya bukan main rasa ingin menitis air mata kerana dia adalah guru saya.

Saya juga dapat berjumpa rakan-rakan seperjuangan saya. Mereka masih kekal sebagai kaunselor di sekolah dan jabatan kerajaan. Saya tabik kepada mereka kerana dengan adanya mereka yang menyebabkan kaunseling masih lagi beroperasi. Saya memang respect kepada kaunselor yang niatnya menolong klien. Saya memang respect kepada kaunselor yang memberi khidmat sebaik mungkin dalam menolong individu baik di sekolah atau sebagainya. Kerana kaunseling adalah praktis, praktis, praktis dan praktis. Agak janggal kepada saya jika kaunselor langsung tiada pengalaman kerja sebagai kaunselor. Ibarat seorang jurutera yang hanya tahu spanar tetapi tidak mampu untuk menggunakannya. Baik jadi seperti mekanik biar pun gaji kecil tetapi mampu mengaplikasikan ilmunya. Semua kereta mekanik itu boleh baiki kerana dia belajar untuk praktis. Mungkin orang akan bertanya saya kenapa tidak menjadi mekanik? Saya akan jawab kenapa nak jadi mekanik sedangkan saya boleh jadi jurutera? Isunya adakah jurutera itu mahir dan tahu kerja buat mereka selepas ini? Dengan lain perkataan, sejauhmana kaunselor dapat menjana ilmu mereka.

Saya bermalam di banglo USM. Rasa seram juga kerana banglo tersebut besar dan sunyi pula tu. Sempatlah makan pasembur di Padang Kota walaupun rasanya kurang sedap dan mahal pula tu. Saya juga mencuri masa ke perpustakaan USM. Memang hebat !!! Banyak buku kaunseling. Sempat saya membeli buku-buku berkaitan. Tidak sedar habis hampir RM 500.00 . Itu lah kegembiraan saya bila pergi ke suatu tempat ilmu, biasa saya membeli satu buku atau lebih. Dah jadi tabiat. Tetapi yang pasti saya hanya berkelana sebentar di USM kerana sekarang saya masih cintakan UPSI. Saya sayang UPSI kerana keamanan dan keharmonian manusia dan persekitarannya. Akan datang belum pasti lagi. Saya tidak berminat untuk memikirkannya. Walaupun terlintas juga sedetik adakah suatu hari saya akan berkelana juga di sini ...

  © Blogger template 'A Click Apart' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP