Sunday, March 15, 2009

Kejayaan dan Kesan Reality Therapy dalam membantu individu dan kelompok


Kejayaan Terapi Realiti dalam membantu individu dan kelompok telah saya bentangkan di Kuching, Sarawak semasa saya menghadiri Persidangan Kaunseling Kebangsaan. Nampaknya maklumat sebegitu masih lagi berguna khususnya untuk meyakinkan orang ramai apa yang menyebabkan Terapi Realiti mempunyai sumbangan dalam dunia kaunseling. Di bawah ini saya senaraikan beberapa kajian-kajian lepas yang menunjukkan Terapi Realiti berupaya sebagai proses dalam membantu psikologi manusia.

1. James dan Gilliland (2003) menegaskan Terapi Realiti telah terbukti berjaya dalam institusi pendidikan bermula daripada pra sekolah sehingga ke peringkat ijazah tinggi. James dan Gilliland menyebut bahawa Glasser telah merakamkan segala pengalaman beliau dalam bukunya Schools Without Failure (1969) dan Every Student Can Succeed (2000) yang berkaitan dengan sesi kaunseling yang dijalankan di peringkat institusi pendidikan. Selain itu mengikut James dan Gilliland, pelbagai buku, bengkel, konsultasi, model latihan di sekolah, pendidikan telah dihasilkan untuk memperkembangkan Terapi Realiti. Menurut beliau lagi terapi ini berperanan dalam bidang pengajaran, disiplin, kaunseling dan membantu pihak sekolah dalam aspek pengurusan di sekolah.


2. Menurut Seligman (2006) Terapi Realiti adalah teori yang jelas, berfokus terus kepada masalah, memberi kuasa kepada klien membuat keputusan dan mengutamakan isu-isu yang berkaitan motivasi ke atas klien, kesempurnaan keinginan klien dan kawalan dalam diri klien. Fungsi Terapi Realiti adalah sebagai penghubung penilaian diri yang dilakukan untuk membentuk rasa tanggungjawab dalam membuat pilihan dan perancangan dalam kalangan klien. Seligman menegaskan lagi bahawa hasil kajian-kajian lepas menunjukkan Terapi Realiti berjaya diaplikasikan dalam konteks sekolah, komuniti dan pelbagai jenis masalah klien.


3. Lawrence (2004) telah menilai keberkesanan kaunseling kelompok berdasarkan Terapi Realiti ke atas penentuan diri (self determination) dalam kalangan orang dewasa kurang upaya. Metod yang digunakan adalah jenis eksperimen. Seramai 32 orang peserta kajian yang terlibat. 16 orang mengikuti kaunseling kelompok Terapi Realiti manakala 14 orang merupakan kelompok kawalan. Alat ukur yang digunakan adalah The Arc’s Self-Determination Scale (Adult Version) oleh Wehmeyer 1995 yang mengukur autonomi, peraturan, kuasa psikologi dan kesedaran diri. Sebanyak enam sesi telah dijalankan. Enam sesi tersebut adalah sesi perkenalan, membincangkan basic needs, membincangkan tingkah laku keseluruhan, membincangkan dunia kualiti, membincangkan apa yang ahli kelompok ingin lakukan dan memilih kehendak yang ingin diperbaiki. Dapatan menunjukkan bahawa kelompok yang menjalani Terapi Realiti menunjukkan peningkatan penentuan diri daripada aspek autonomi, peraturan, kuasa psikologi dan kesedaran diri. Dapatan ini menggambarkan bahawa kaunselor dan pekerja sosial yang lain boleh menggunakan kaunseling kelompok berasaskan Terapi Realiti untuk meningkatkan autonomi, peraturan, kuasa psikologi dan kesedaran diri dalam kalangan orang yang kurang upaya.


Banyak lagi perkara yang boleh di kongsi. Bagusnya biarlah sedikit-sedikit barulah rasa nikmat menuntut ilmu dan lebih menghargai ilmu yang dipelajari.


Sumber : Ahmad Jazimin (2008; 2005)


5 comments:

Aisyah March 15, 2009 at 11:01 PM  

salam Dr..saya harap Dr dapat buat buku realiti terapi khas utk sesi kaunseling individu n kelompok...ia mybe membantu kami yg berminat dengan teori ini..ia juga utk rujukan bila tak dapat berhubung dengan pensyarah nanti..

Dr Ahmad Jazimin Jusoh March 16, 2009 at 1:02 PM  

Benar tu. Tengah tulis ni..Tapi asyik terhenti je. Bila Aisyah cakap semangat balik saya.

Anonymous March 16, 2009 at 11:38 PM  

Tq so much Dr 4 these bhn, it really helps a lot....hanya Allah yg dpt mblsnya..saya doakan smoga Dr berjaya mneruskan apa yg tlh dimulakan...smoga Allah mpermudahkan laluan utk Dr...right now, payah betul nak cari bhn bacaan temptn yg menjurus dan mendlmi CTRT..who knows u might be the 1st
.....insyaAllah

Anonymous November 17, 2011 at 9:28 PM  

salam Dr. Saya selalu baca tulisan dr dalam jurnal etc. Harap dr. dapat hasilkan buku kaunseling yang berkualiti dalam berbahasa Malaysia yang saya rasa sangat kurang dalam pasaran.

Amalin December 6, 2011 at 12:05 PM  

salam, dr. terima kasih atas bahan tentang teori realiti. Ia sangat berguna untuk saya yang sedang membuat tesis berkaitan dengan teori ini. Harap Dr naikkan semangat memperjuangkan penulisan buku teori kaunseling. Tq

  © Blogger template 'A Click Apart' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP